MASZLEE TERKEJUT DAPAT KUASA, KATA AKTIVIS MAHASISWA

KEENGGANAN Maszlee Malik melepaskan jawatan Presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) bukanlah mengejutkan, sebaliknya Menteri Pendidikan itu sebenarnya yang terkejut kerana tiba-tiba dapat kuasa, kata aktivis mahasiswa.

Maszlee pada September lalu dilantik sebagai Presiden UIAM yang ketujuh. Pelantikan itu dikecam aktivis mahasiswa yang mendakwa ia bertentangan dengan janji kerajaan untuk tidak campur tangan dalam urusan universiti awam.

Pengasas Demokrat Universiti Malaya, Daniel Mizan Qayyum berkata mereka yang mengikuti isu pelantikan Maszlee ke UIAM tidak akan terkejut dengan sikap menteri itu yang tidak mahu berundur biarpun mendapat tekanan dari dalam Pakatan Harapan sendiri.

“Ini tidak mengejutkan. Yang terkejut sebenarnya adalah Maszlee kerana kejutan budaya dengan kuasa politik.

“Usaha beliau untuk berselindung dengan alasan “lantikan Tun M (Dr Mahathir Mohamad)” dan “perkenan Sultan Pahang” tidak lagi mampu menyelamatkannya kerana beliau juga ditekan oleh pimpinan Pakatan Harapan,” kata Daniel kepada The Malaysian Insight.

Seorang lagi aktivis mahasiswa, Asheeq Ali Sethi Alivi berkata, Maszlee enggan letak jawatan kerana merasakan beliau ada “hubungan peribadi” dengan universiti antarabangsa itu.

“Saya sudah jangka dia akan terus kekal (sebagai Presiden UIAM). Beliau tidak akan lepaskan jawatan itu kerana ada hubungan peribadi dengan UIAM.

“Tetapi saya tertanya-tanya, kenapa beliau terlalu mahukan jawatan itu?” katanya.

Beliau menarik perhatian pada perletakan jawatan Wan Saiful Wan Jan sebagai penasihat kepada Maszlee untuk menumpu perhatian pada tugasnya sebagai pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) baru-baru ini.

“Jika Wan Saiful boleh, kenapa Maszlee tidak boleh?” kata Asheeq.

Aktivis mahasiswa Asheeq Ali Sethi Alivi (kanan) dan Siti Nurizzah Mohamad Tazali ketika ditemui di Petaling Jaya, baru-baru ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 9 November, 2018

Maszlee sebelum ini mempertahankan keputusannya memegang jawatan di UIAM, tempat beliau memulakan kerjaya akademiknya 20 tahun lalu, sehingga universiti itu boleh dianggap sebagai Oxford bagi dunia Islam.

Asheeq, 23, bagaimanapun melihat Maszlee setakat ini belum melakukan sebarang perubahan yang ketara di universiti itu sejak memegang jawatan sebagai presiden UIAM.

Asheeq dan seorang lagi aktivis mahasiswa, Siti Nurizzah Mohamad Tazali, 23, pernah ditahan polis awal September lalu selepas enggan bersurai ketika mengadakan protes duduk bantah di perkarangan pejabat Kementerian Pendidikan Malaysia di Putrajaya.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Pembebasan Akademik IPTA (GPAIPT), Ahmad Taqiyuddin Shahriman, 25, berkata pihaknya akan meneruskan program jelajah bertemu dengan kumpulan mahasiswa untuk memberi pencerahan tentang pembebasan akademik.

Katanya, penglibatan mereka dalam Jawatankuasa Teknikal Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) di bawah Kementerian Pendidikan tidak menjejaskan program jelajah itu.

“Sebaik sahaja pelajar pulang bercuti, akan ada sesi jelajah yang baru.

“Walaupun kami perlu mengumpul input daripada mahasiswa seluruh negara, ia tidak beri kesan kepada kami untuk mengadakan jelajah di bawah GPAIPT,” jelasnya

Sumber dalaman Pakatan memberitahu The Malaysian Insight, Maszlee sudah dinasihatkan untuk melepaskan jawatannya di UIAM tetapi menyifatkan menteri itu “keras kepala”.

“Dia tak mahu lepaskan (jawatan) kerana dia rasa dia boleh tolong mereka (UIAM),” kata sumber itu.

“Kami masih memantau situasi dan belum bertindak mengarahkan dia melepaskan jawatan. Kami mahu dia buat keputusan sendiri.”

the malaysian insight

.