KES CABUL REMAJA: MAHKAMAH KELUAR WARAN TANGKAP KE ATAS SHAHIDAN

KANGAR: Mahkamah Sesyen Kangar hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim kerana gagal hadir untuk menghadapi pertuduhan dipercayai kes mencabul seorang gadis bawah umur, baru-baru ini.

Waran itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen, Johari Abu Hassan susulan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nordin Ismail.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili Shahidan, Syed Muhamad Anwar Syed Lokman Hakim membantah pengeluaran waran itu kerana anak guamnya dan beliau sendiri tidak dimaklumkan mengenainya lebih awal.

“Saya hanya mendapat tahu pengeluaran waran ini semasa berada di mahkamah pagi ini, sedangkan anak guam saya berada di luar kawasan.”

“Kes berprofil tinggi seperti ini perlulah dimaklumkan lebih awal, apatah lagi melibatkan ahli politik.

“Shahidan tidak lari ke mana-manapun kerana beliau menetap di Perlis. Waran tangkap hanya dikeluarkan jika beliau melarikan diri,” katanya.

Berdasarkan status Facebook Shahidan, ahli Parlimen Arau itu kini berada di Mekah menunaikan umrah.

Baru-baru ini, tular dakwaan Shahidan mencabul seorang gadis berusia 15 tahun yang merupakan ahli kumpulan busker ditajanya.

Shahidan bagaimanapun menafikan perbuatan itu yang didakwa berlaku 21 Oktober lalu dan laporan polis remaja itu sudah ditarik balik.

Bapa remaja itu turut berkata, perkara itu diselesaikan secara baik dan keluarga mereka anggap tiada apa yang perlu dihebohkan.

free malaysia today

.