BANK PUSAT SINGAPURA BUAT LAPORAN POLIS ARTIKEL BERKAIT HSIEN LOONG DENGAN 1MDB

SINGAPURA: Penguasa Kewangan Singapura (MAS) membuat laporan polis terhadap penulis artikel dalam www.statestimesreview.com pada 5 November lalu berhubung kenyataan yang didakwa palsu dan berniat jahat serta mempersoalkan integriti MAS sebagai pengawal selia kewangan.

Artikel bertajuk “Lee Hsien Loong becomes 1MDB’s key investigation target” (Lee Hsien Loong menjadi sasaran siasatan penting 1MDB) mendakwa Malaysia menandatangani beberapa perjanjian tidak adil dengan Singapura, sebagai pertukaran kepada bantuan bank Singapura untuk pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB.

“Artikel itu tidak berasas dan satu fitnah,” kata MAS dalam kenyataannya.

“Artikel itu juga mengabaikan tindakan tegas dan tidak pernah dilakukan sebelum ini oleh MAS sejak 2 tahun lalu terhadap bank berpangkalan di Singapura dan pengurus bank berhubung peranan mereka dalam transaksi berkaitan MDB, dalam kebanyakan kes mendahului tindakan penguatkuasaan oleh bidang kuasa asing.

“Penyiasatan ke atas kes 1MDB tidak pernah ditutup,” kata bank pusat Singapura itu.

Pada sidang akhbar laporan tahunannya pada 2016 dan 2017, MAS menjelaskan ia tidak akan teragak-agak menyiasat apa-apa petunjuk baru atau bukti mengenai aliran dana berkaitan 1MDB.

Ini ditekankan dalam kenyataan umum dikeluarkan bersama oleh MAS, Jabatan Peguam Negara dan pasukan polis Singapura pada 8 Jun 2018, menurut kenyataan itu.

MAS berkata, agensi penguatkuasaan dan pengawal selia undang-undang Singapura juga bekerjasama secara aktif dengan rakan sejawatan mereka di Malaysia, Switzerland, Luxembourg dan Amerika Syarikat semasa pemerintahan kerajaan Malaysia terdahulu.

“MAS meletakkan kepentingan sepenuhnya dalam menjaga integritinya sebagai pengawal selia kewangan dan mengambil serius sebarang tuduhan palsu yang bertentangan.”

FREE MALAYSIA TODAY

.