MT UMNO BINCANG KEDUDUKAN ZAHID PETANG INI?

PETALING JAYA: Isu berkaitan kedudukan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden Umno berkemungkinan dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu yang dijadualkan petang ini.

Timbalan Ketua Umno Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, beliau dimaklumkan sebahagian exco Pemuda Umno menggesa isu berkenaan ditimbulkan dalam perbincangan, walaupun ia bukanlah sebahagian daripada agenda utama mesyuarat.

“Perancangan dan idea meminta presiden parti berehat itu ada, benda ini sudah dirancang. Walaupun exco Pemuda Umno tidak terlibat dalam mesyuarat, tetapi timbalan ketua pemuda dan ketua pemuda terlibat dalam mesyuarat MT.

“Jangkaan saya, walaupun ia tidak ada dalam agenda mesyuarat, tetapi ia akan tetap ditimbulkan. Ini adalah sebagai tindakan susulan terhadap kenyataan Pemuda Umno sebelum ini yang secara konsisten menggesa presiden berehat,” katanya kepada FMT.Mesyuarat kali ini adalah pertama diadakan selepas sayap parti Melayu itu melalui ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pada Oktober lalu mencadangkan Zahid bercuti daripada menjalankan tugas sebagai presiden parti sehingga selesaikes pertuduhan beliau di mahkamah.

“Berehat atau bercuti tidaklah memberi isyarat Zahid sudah dijatuhkan sebagai bersalah dan harus melepaskan jawatan presiden. Pada ketika ini beliau seharusnya diberi peluang untuk memfokuskan usaha membersihkan nama berikutan 45 pertuduhan yang hadapinya di mahkamah,” kata Asyraf.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Umno Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin pula menyifatkan langkah membangkitkan isu berkenaan dalam mesyuarat hari ini adalah tindakan sia-sia kerana tidak ada peruntukan dalam perlembagaan parti yang membenarkan undi tidak percaya terhadap presiden.

“Agenda mesyuarat ini hanya untuk bincangkan mengenai gerak kerja parti, seperti proses pemutihan anggota dalam parti dan program yang akan dijalankan. Tidak ada peruntukan untuk undi tidak percaya terhadap presiden, sebab itu agenda ini tidak guna dibawa. Saya secara peribadi rasa tidak ada keperluan agenda ini,” katanya.

Pada masa sama, ahli MKT Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, adalah menjadi hak Pemuda Umno untuk menyuarakan perkara berkenaan dalam mesyuarat, namun Zahid sebagai presiden perlulah memberi penjelasan kepada wakil Pemuda.

“Ada kemungkinan isu ini akan dibangkitkan, tetapi saya sendiri tidak setuju untuk ia dibincangkan kerana akan menimbulkan kem dalam Umno, iaitu yang kata setuju dan yang kata tidak. ini akan menyebabkan Umno lebih berpecah.

“Namun Zahid boleh nyatakan pendirian dan jelaskan adakah beliau sanggup untuk galas tanggungjawab dalam keadaan sedemikian,” katanya.

Zahid menghadapi 45 pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, 19 Okt lepas.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu diikat jamin RM2 juta bagi kesemua pertuduhan tersebut.

FREE MALAYSIA TODAY

.