SAIFUDIN NASUTION NAFI SEMBUNYI KEAHLIAN 13,000 AHLI CABANG JULAU

SETIAUSAHA Agung PKR Saifuddin Nasution menafikan usaha pihaknya cuba menyembunyikan jumlah keahlian baru di cabang Julau yang mencecah 13,000 orang.

Beliau mengulas mengenai satu surat pekeliling bertarikh 27 Jun, yang hanya menyenaraikan 66 orang di Julau manakala jumlah keseluruhan Sarawak adalah 6,812 orang.

Ahli Parlimen Kulim itu menjelaskan, surat yang tular di aplikasi WhatsApp itu tidak sah kerana pihaknya telah membuat pembetulan kemas kini data negeri berkenaan.

Malah, salinan surat pekeliling yang kedua telah dikirimkan kepada pimpinan biro politik melalui emel.

“Surat pertama petugas terlupa kemas kini yang kita daftar sebelum itu. Dan pembetulan itu telah diemel kepada pimpinan dalam biro politik. Maknanya surat yang pertama tidak valid. Surat yang itu mereka tak viralkan pula. Mereka viral surat yang pertama,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Jelasnya, surat pekeliling kedua jelas menunjukkan jumlah sebenar permohonan setiap negeri yang diterima melalui online mahupun borang sebelum 26 Jun lalu.

Beliau turut mengulangi, permohonan dari Sarawak diterima pada 12 Jun melalui permohonan borang.

“Kita terima permohonan (Julau) pada 12 Jun dan tarikh tutup adalah 26 Jun. Ia terpakai untuk semua cabang seluruh negara.

“Pendaftaran bukan saja melalui online dan apabila MPP memberi kelonggaran pemohon boleh isi borang dan hantar (secara manual),” katanya lagi.

Tambahnya, borang permohonan manual yang diterima akan mengambil masa untuk dikemas kini dalam data, lebih-lebih lagi yang menghantar pada saat akhir.

“Jadi kita ambil masa masukkan dalam sistem. Ada waktu sistem kita crack sebab terlalu banyak masuk dalam satu hari. Jika ada yang hantar borang pada malam 26 hari bulan, maka kita juga akan proses masukkan pada 27 hari bulan,” jelasnya lagi.

Sejak pagi tadi, tersebar di WhatsApps mengatakan Saifuddin berbohong mengenai keahlian. Surat pekeliling bertarikh 27 Jun itu menyenaraikan jumlah anggota baru yang disahkan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat.

Antara yang diumumkannya, jumlah anggota baru di seluruh negeri Sarawak adalah 6812 orang manakala cabang Julau adalah 66 orang.

“Jumlah 13,000 ini bercanggah dengan pekeliling SUA yang dikeluarkan pada 27 Jun 2018,” kata kenyataan yang tersebar tanpa nama itu.

Biro politik yang bermesyuarat semalam membuat kenyataan data keahlian di Julau mengikut prosedur.

PKR juga akan membuat proses pemutihan ahli dan mengemas kini data keahliannya selepas pemilihan parti itu selesai, kata pengarah komunikasinya Fahmi Fadzil.

Cabang Julai menimbulkan kontroversi selepas peningkatan mendadak ahlinya bertambah sehingga 2,000% daripada 635 orang kepada lebih 13,617 ahli dipertikai banyak pihak.

Keanggotaan cabang Julau kini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dikhuatiri terdapat “undi hantu”.

the malaysian insight

.