KEPUTUSAN PERMOHONAN AGC BATAL SAMAN DR MAHATHIR PADA 17 DISEMBER

MAHKAMAH Tinggi hari ini menetapkan 17 Disember bagi keputusan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk membatalkan saman pemula Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang menuntut deklarasi bahawa Laporan Suruhanjaya Siasatan Untuk Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Oleh Bank Negara Malaysia Sekitar Tahun 1990-an adalah tidak sah dan terbatal.

Hakim Azizah Nawawi menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya selepas mendengar hujahan Peguam Kanan Persekutuan Mazlifah Ayob, yang mewakili AGC dan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Dr Mahathir selaku plaintif dalam saman berkenaan.

Mazlifah ketika ditemui pemberita berkata beliau berhujah bahawa plaintif (Dr Mahathir) tidak mempunyai kausa tindakan munasabah untuk memfailkan tindakan saman tersebut.

“Laporan suruhanjaya itu tidak boleh diadili dan tidak boleh dicabar di mahkamah. Saman itu juga bersifat akademik kerana laporan berkenaan telah dibentangkan di Parlimen. Tiada apa lagi untuk mahkamah isytiharkan kerana orang awam sudah tahu mengenai laporan itu,” katanya.

Beliau juga berkata, sesiapa juga yang telah membaca laporan itu sewajarnya boleh memahami perkara itu dan perlu mengetahui dokumen-dokumen yang dikemukakan dalam prosiding tersebut.

Dr Mahathir memfailkan saman pada awal Disember 2017, dengan menamakan pengerusi suruhanjaya itu, Mohd Sidek Hassan, anggota-anggota suruhanjaya iaitu Kamaludin Md Said, Tajuddin Atan, Saw Choo Boon, K.Pushpanathanan dan Dr Yusof Ismail, selain bekas Perdana Menteri Najib Razak, jemaah menteri serta kerajaan sebagai defendan.

Dalam saman itu, Dr Mahathir memohon pengisytiharan bahawa laporan suruhanjaya mengenai kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia adalah tidak sah dan terbatal kerana tidak memasukkan dokumen undang-undang saksi dan nota prosiding.

Beliau memohon pengisytiharan bahawa laporan berkenaan adalah tidak sah, tidak lengkap dan tidak terpakai kerana tidak mengandungi nota prosiding, hujah bertulis dan hujah lisan melalui transkripsi atau rakaman video.

Turut dipohon pengisytiharan bahawa mana-mana ‘Laporan Siasatan Diraja’ oleh mana-mana Suruhanjaya Siasatan Diraja yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 hanya sah dari segi undang-undang dan terpakai jika ia mengandungi semua kenyataan bertulis oleh saksi-saksi yang memberi keterangan dalam prosiding, nota prosiding dan dapatan.

– Bernama

.