TAIKUN PERTAHAN SKIM FUNDMYHOME, JAWAB KESANGSIAN NAJIB

PETALING JAYA: Laman hartanah dibelakang “FundMyHome”, satu skim pemilikan rumah baharu yang menjadi perhatian kerana kaedah pembiayaannya, berkata inisiatif itu tidak perlu sebarang dana kerajaan, konsesi, atau jaminan dan sudah lama dirancang sebelum kerajaan bersetuju memasukkannya ke dalam Belanjawan 2019.

EdgeProp Sdn Bhd berkata atas sebab itu skim itu boleh dilancarkan tidak lama selepas belanjawan dibentangkan minggu lepas.

“Kami dalam beberapa tahun kebelakangan ini memikirkan secara mendalam untuk mencari suatu penyelesaian bagi membantu rakyat, terutamanya yang baru berkeluarga dan inginkan kediaman sendiri daripada menyewa,” kata Pengerusi Tong Kooi Ong.

“Selepas menyediakan idea kami, kami bawa idea itu kepada kerajaan dan berbincang dengan pelbagai pengawal selia dalam beberapa bulan lalu, dan akhirnya idea itu dimasukkan ke dalam belanjawan yang dibentangkan di Parlimen pada 2 November.”

Tong menjawab kesangsian bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak terhadap skim itu 2 hari selepas ia dilancarkan.

Beliau mengajukan beberapa soalan buat Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika pakar hartanah khuatir skim “FundMyHome” mendedahkan pembeli kepada risiko.

Najib menggesa Lim memikirkan jika seseorang pembeli itu mampu membayar “wang pendahuluan” sebanyak 20%, mengapa pembeli tersebut tidak dapat membeli rumah selama ini dan tidak mendapat pinjaman daripada bank.

“Mengapa pelabur atau peminjam dana masih berkongsi keuntungan dengan pembeli jika pembeli berhasrat menjual selepas 5 tahun, sedangkan sepanjang 5 tahun tersebut, pelabur atau peminjam dana telah menerima pulangan pelaburan 5% setiap tahun selama 5 tahun daripada ‘deposit’ 20% yang dibayar oleh pembeli?”

Dalam skim FundMyHome, pembeli membayar 20% daripada harga hartanah dan ia akan dimasukkan ke dalam satu akaun amanah untuk membayar pulangan pelaburan tahunan sebanyak 5% kepada institusi terlibat untuk tempoh 5 tahun.

Baki 80% itu akan disumbangkan oleh bank seperti Maybank dan CIMB. Untuk 5 tahun pertama, tidak ada bayaran balik bulanan. Selepas itu, pembeli sama ada menjual rumah itu, membeli bahagian hartanah yang tidak dimilikinya pada harga pasaran, atau membiayai semula rumah itu.

Najib juga tertanya sama ada diskaun yang ditawarkan oleh pemaju perumahan akan dimansuhkan dengan pengenalan skim itu.

“Selepas 5 tahun, pembeli rumah tetap kena pergi ke bank dan membuat pinjaman perumahan, dan pada harga pasaran ketika itu. Jika pada masa itu pembeli rumah masih tidak mampu memiliki rumah dan membuat bayaran ansuran setiap bulan, apa akan terjadi kepada mereka? Diusir keluar dari rumah?”

Beliau juga memberi amaran harga hartanah mungkin tidak meningkat seperti yang diharapkan.

“Sebenarnya, skim ini nak membantu siapa? Rakyat atau pemaju?”

free malaysia today

.