KENAPA PERLU UGUT?

SHAH ALAM – Presiden Persatuan Pengusaha Teksi Wilayah Persekutuan dan Selangor (Perpekli) Datuk Aslah Abdullah mempersoalkan kewajaran tindakan pemandu teksi yang dijangka mengadakan perhimpunan aman di bangunan Parlimen Khamis ini sekiranya dalam masa terdekat masih belum dibenarkan bertemu Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Aslah berkata, tindakan berkenaan seolah-olah satu ugutan serta mengundang rasa kurang selesa dalam mencari penyelesaian terbaik bagi menangani isu berkaitan teksi dan persaingnya iaitu perkhidmatan e-hailing seperti Grab.

“Buat apa nak jumpa dia (Anthony Loke)? Ini dah macam satu ugutan dan dah jadi tak elok.  Sepatutnya tunggulah masa yang sesuai. Kita perlu tunggu, kalau nak paksa dia tapi dia tak bersedia susah juga nak selesaikan.

Aslah berkata, tuntutannya dalam isu berkenaan masih lagi sama iaitu supaya Grab didaftarkan di negara ini dan dikawal oleh kerajaan sama seperti apa yang perlu dilakukan oleh teksi.

Menurutnya, semua pihak terutamanya pemandu teksi perlu menerima hakikat perkhidmatan berkenaan tidak akan dihapuskan di negara ini memandangkan ia sebuah perniagaan yang sudah membuat pelaburan besar.

“Saya hanya minta Grab didaftarkan, ada undang-undang, ada peraturan, ada pemeriksaan kenderaan dan sebagainya seperti mana yang perlu dipatuhi teksi,” katanya.

Semalam Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, perhimpunan aman di bangunan Parlimen itu dijangka akan disertai 3,000 pemandu teksi dari seluruh negara.

Menurutnya, perhimpunan itu tidak akan bersurai selagi tidak dapat bertemu dengan Menteri atau Timbalan Menteri Pengangkutan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menyatakan Grab akan diminta menggunakan kenderaan yang diluluskan kerajaan, membayar insurans dan cukai sama seperti teksi bagi memastikan persaingan adil.

Menurutnya, perkara itu pernah dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet dan mengarahkan Menteri Pengangkutan untuk memperbetulkannya, namun tiada kemajuan sehingga kini.

sinar harian

.