EDAR BIBLE: BUKAN KERJA GEREJA, TUNGGU SIASATAN POLIS

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, pihaknya sedang menunggu maklumat terperinci berkaitan isu tular pengedaran kitab Bible di sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Mujahid berkata, beliau dimaklumkan polis sedang menjalankan siasatan berhubung laporan polis yang dibuat.

” Hari ini polis akan ambil maklumat dari pelajar-pelajar melalui guru dan pengetua sekolah, kita tunggu dulu hasil siasatan,” katanya kepada media yang ditemui selepas sesi Townhall Maqasid Syariah di sini hari ini.

Ketika sesi Townhall itu, menjawab soalan salah seorang tetamu Mujahid berkata, pihaknya menerima maklumat orang Melayu turut menerima edaran kitab Bible berkenaan

Menurutnya ia jelas akan timbulkan kontroversi sebab daripada maklumat yang kita dapat ada juga yang diberikan kepada orang Melayu.

“Cuma sebagai menteri, saya selalu mengambil pendekatan kalau boleh kita selesai, selesaikan dengan cara baik jangan benda ini jadi satu isu boleh menjejaskan perkara yang lebih besar dengan mengambil kira konsep berhati-hati pada masa depan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, beliau gembira kerana mendapat maklumat  daripada pihak gereja berdekatan bahawa tindakan itu bukan daripada mereka tetapi ini adalah daripada individu dan NGO yang buat kerja sendiri.

“Malah gereja pun tidak setuju dan terkejut dengan tindakan dan telah diberikan nasihat supaya tidak lagi buat perkara ini,” katanya.

Semalam, Mujahid dalam sidang akhbarnya di Pulau Pinang mengakui berlaku kegiatan mengedar kitab Bible kepada pelajar di hadapan sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam, seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

sinar harian

.