TIGA CABANG PKR DI SABAH MUNGKIN UNDI SEMULA

TIGA cabang PKR di Sabah, yang keputusan pemilihannya pada hujung minggu lalu digantung kerana beberapa masalah, mungkin akan terpaksa mengundi semula, kata pengarah jawatankuasa pemilihan pusat parti (JPP) Rashid Din.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, pihaknya sedang berbincang untuk memutuskan kedudukan pemilihan di cabang Tawau, Keningau dan Pensiangan.

“Kemungkinan akan undi semula. Tiga cabang itu banyak masalah. Kita (JPP) sedang berbincang,” kata Rashid ketika dihubungi hari ini.

Beliau membayangkan cabang Keningau dan Tawau akan mengundi semula manakala proses pengundian di Pensiangan dibuka semula bagi memberi peluang kepada mereka yang tidak sempat mengundi pada Ahad untuk mengundi.

Pemilihan di Pensiangan pada Ahad tergendala selama beberapa jam selepas sistem Internet terputus, didakwa ada unsur sabotaj. Gangguan Internet itu berlaku ketika proses pengundian sedang berjalan dan laporan menyebut ada kesan kabel bekalan dipotong dengan sengaja.

Pemilihan di Keningau pula kecoh selepas penyokong Rafizi mendakwa mereka tidak dibenarkan masuk dewan pengundian selain tempat pengundian yang kecil tidak dapat menampung jumlah pengundi yang ramai. Talian internet yang lemah juga menyebabkan anggota beratur berjam-jam.

Kekecohan tercetus ketika Rafizi Ramli datang ke tempat pengundian.

“Di Keningau tempatnya memang kecil kerana ketua cabang pada saat akhir hendak buat di kampung dia.

“Selepas ini, kita akan pastikan tempat dipilih lebih besar dan talian Internet bagus,” jelas Rashid.

Beliau bagaimanapun tidak mahu mengulas mengenai isu di Tawau.

Sabah adalah negeri kedua yang mempunyai keahlian paling banyak iaitu 143,000 orang yang layak mengundi, kedua terbanyak selepas Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 November, 2018.
Sabah adalah negeri kedua yang mempunyai keahlian paling banyak iaitu 143,000 orang yang layak mengundi, kedua terbanyak selepas Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 November, 2018.

Tanpa undi dari tiga cabang itu, penyandang timbalan presiden Mohamed Azmin Ali mengatasi pencabarnya Rafizi Ramli dengan majoriti keseluruhan 3,006 undi.

Azmin melebarkan kelebihannya setelah mendahului Rafizi dengan 1,601 undi di Sabah hasil pengundian pada 3 dan 4 November lalu melibatkan 22 daripada 25 cabang.

Sabah adalah negeri kedua yang mempunyai keahlian paling banyak iaitu 143,000 orang yang layak mengundi, kedua terbanyak selepas Selangor. Selangor dan Sabah membentuk lebih kurang 47% daripada ahli PKR.

Kiraan The Malaysian Insight berdasarkan data daripada JPP menunjukkan Azmin kini mempunyai 60,333 undi manakala Rafizi 57,327 undi, tidak termasuk undi ragu dari beberapa negeri yang belum dimuktamadkan.

Sementara itu, ditanya tentang hari pengundian yang sesuai sebelum kongres PKR pertengahan bulan ini, Rashid berkata tarikh yang dibayangkan ialah 11 November, serentak dengan pengundian di beberapa cabang lain yang bermasalah.

“Kita sudah tiada pilihan. Kalau confirm (sah) undi semula maka kena buat 11 November. Minggu depan itu tak boleh dah sebab kongres (PKR),” katanya lagi.

Semua enam cabang di Melaka akan mengundi semula pada 11 November ini, bersama tiga cabang lain iaitu Jelebu di Negeri Sembilan, Kuala Selangor di Selangor dan Wilayah Persekutuan Labuan – terhad bagi mereka yang mengundi sebelum ini.

Sarawak, dengan 29 cabang, akan mengundi sehari sebelum itu.

Kongres PKR 2018 yang dijadual berlangsung pada 16 hingga 18 November ini di Shah Alam akan mengesahkan keputusan pemilihan yang diadakan secara berperingkat sejak 23 September lalu.

the malaysian insight

.