GANI PATAIL KENA JELASKAN KENAPA MUSA AMAN TIDAK DIDAKWA LEBIH AWAL

BEKAS peguam negara Abdul Gani Patail bertanggungjawab untuk menjelaskan kenapa bekas ketua menteri Sabah Musa Aman tidak didakwa kerana rasuah pada 2012, kata wakil rakyat Kepong Lim Lip Eng.

Pada Isnin, Musa didakwa 35 pertuduhan rasuah, di mana beliau didakwa menerima rasuah berjumlah RM243 juta sebagai balasan pemberian konsesi balak kepada lebih 15 syarikat dari 2004 hingga 2008.

Musa mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan itu dan dibenarkan ikat jamin RM2 juta menerusi dua kali ansuran.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan dan pendakwa raya khas Gopal Sri Ram berkata beliau terkejut kenapa Gani tidak bertindak terhadap Musa walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai kes yang kukuh pada sebelum ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Lim meminta Gani memberi penjelasan adakah beliau tidak mendakwa Musa pada masa itu kerana takut kepada bekas ketua menteri itu atau bekas perdana menteri Najib Razak, atau adakah kerana “Gani bersaudara dengan Musa”.

the malaysian insight

.