ZURAIDA SEDIA LEPASKAN KERUSI AMPANG

SKUDAI – Ahli Parlimen Ampang bersedia melepaskan kerusi Parlimen Ampang yang disandangnya bagi bertanding di mana-mana negeri yang ingin ditawan Pakatan Harapan termasuk Johor pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14).

Zuraida Kamaruddin yang juga Ketua Wanita PKR berkata, kejayaan Pakatan Harapan menawan Johor sebagai ‘front-line’ pada pilihanraya akan datang bermakna kejayaan menawan Putrajaya sekali gus menumbangkan BN.

Katanya, kepimpinan tertinggi parti juga berhasrat untuk meletakkan calon ‘high profile’ pada PRU14 di negeri yang dijangka dilanda gelombang tsunami kedua, justeru Zuraida tidak gentar untuk bertanding di mana-mana kerusi di negeri ini.

“Saya tidak gentar malah bersedia membantu parti dan Pakatan Harapan untuk menawan negeri yang disasarkan pada PRU14 khususnya Johor  yang menjadi ‘front-line’..malah saya juga bersedia  meninggalkan (parlimen) Ampang yang disifatkan sebagai kerusi selesa untuk beralih tempat.

“Malah kepimpinan tertinggi juga turut memberi galakkan serupa untuk meletakkan calon bersifat ‘high profile’ bagi menawan negeri yang masih diperintah BN kerana rakyat  mula menunjukkan isyarat akibat muak dengan pelbagai skandal yang terpalit dengan pemerintah selain tertekan dengan kos sara hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian pada Konvensyen Wanita PKR Johor, di sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Ketua Wanita PKR, Tan Poh Lai dan Ketua Wanita PKR Johor, Rahamizon Abd Ghani.

Zuraida juga yakin selain mampu mengekalkan pemerintahan di Selangor dan Pulau Pinang, Pakatan Harapan juga bakal menumbangkan BN di empat negeri akibat tsunami politik seperti Johor, Kedah Perak dan Sabah berikutan keputusan beberapa pemimpin meninggalkan Umno.

Katanya, pengundi melayu juga telah mempunyai pilihan lain selain Umno selepas tertubuhnya Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) yang diterajui Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Justeru tidak mustahil pembangkang mampu menawan negeri yang bersifat 50-50 seperti Melaka dan Negeri Sembilan pada pilihanraya akan datang.

Dalam perkembangan lain, Zuraida juga mengakui berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan Wanita PKR Johor selepas diterajui Rahamizon.

“Walaupun sebelum ini  prestasi Wanita PKR Johor adalah bersifat ‘yoyo’ semenjak parti ditubuhkan pada 1998, namun kepimpinan diperingkat negeri telah menunjukkan perkembangan memberangsangkan.

“Justeru kita diperingkat pusat juga telah mengemukakan cadangan dengan kepimpinan negeri untuk meletakkan empat calon wanita untuk bertanding di Johor pada pilihanraya akan datang. Saya sendiri akan kerap turun padang untuk membantu,”katanya.

SINAR HARIAN

.