ZURAIDA NAFI RUNDINGAN KERUSI DENGAN PAS

PKR Selangor tidak berbincang dengan PAS berhubung pengagihan kerusi di negeri itu, kata timbalan pengerusinya Zuraida Kamaruddin.

“Tiada rundingan kerusi dengan PAS,” kata Zuraida kepada Malaysiakini.

Anggota parlimen Ampang itu mengulas dakwaan yang mengatakan usaha Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Datuk Seri Azmin Ali berunding dengan PAS menyebabkan rundingan kerusi di kalangan parti HARAPAN tidak dapat dijalankan.

Zuraida berkata, sehingga kini HARAPAN Selangor sudah mengadakan enam mesyuarat rasmi berhubung agiha kerusi.

Menurutnya, dua mesyuarat berkenaan adalah mesyuarat majlis kepimpinan HARAPAN Selangor yang dipengerusikan oleh Azmin, sementara empat mesyuarat yang lain dipengerusikan pengarah pilihan raya HARAPAN Selangor Dr Xavier Jeyakumar.

Ditanya jika Azmin akan mengadakan mesyuarat membincangkan rundingan kerusi bagi menyelesaikan masalah itu hujung bulan ini, Zuraida berkata: “InsyaAllah”.

Diminta mengulas dakwaan bahawa PKR berhasrat bertanding di kerusi PAS dan Umno yang turut dihajati Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Zuraida berkata perkara itu akan berdasarkan “keupayaan untuk menang”.

PAS dikatakan mempunyai hubungan istimewa dengan PKR di Selangor.

Meskipun PAS telah memutuskan hubungan dengan PKR tahun lalu, PAS masih menjadi sebahagian kerajaan negeri Selangor.

Azmin berkata ia bertujuan bagi meneruskan mandat yang diberikan rakyat pada 2013.

– M’kini

.