ZURAIDA: GESAAN AMANAH S’NGOR BUKAN POLITIK MATANG

Timbalan Pengerusi PKR Selangor Zuraida Kamaruddin berkata gesaan AMANAH Selangor agar menteri besar mengkaji semula kedudukan PAS dalam kerajaan negeri bukan satu langkah politik matang.

“Saya melihat kenyataan terbuka oleh AMANAH ini adalah tidak bertepatan dengan semangat kerjasama dalam Pakatan Harapan dari segi konsensus.

“Bukan cara kita menyalur pandangan sedemikian melalui kenyataan umum. Ini bukanlah amalan politik yang matang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zuraida mengulas konvensyen AMANAH Selangor di Ampang hari ini yang sebulat suara meluluskan usul untuk menggesa Datuk Seri Azmin Ali, yang juga pengerusi PKR Selangor, mengkaji semula kedudukan PAS dalam kerajaan negeri.

Zuraida, yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, beliau menghormati hak AMANAH Selangor menyuarakan pendapat mereka tetapi terkejut dengan gesaan secara terbuka yang disuarakanparti itu.

Beliau mengulangi bahawa komposisi semasa wakil-wakil PAS dalam kerajaan Selangor adalah sejajar dengan mandat yang telah diberikan rakyat pada pilihan raya umum lalu.

“Tambahan pula, kesemua wakil rakyat PAS kini telah menunjukkan komitmen mereka terhadap polisi-polisi kerajaan negeri serta agenda reformasi,” katanya.

Zuraida berkata dalam mesyuarat pertama Pakatan Harapan Selangor Jumaat lepas yang dihadiri wakil-wakil AMANAH telah bersetuju bahawa tidak ada perubahan kepada komposisi kerajaan Selangor.

“Ini memandangkan pilihan raya umum sudah semakin dekat dan kerajaaan negeri akan terus menumpukan usaha untuk memberikan khidmat terbaik untuk rakyat Selangor sesuai dengan mandat besar yang diberikan.

“Oleh itu, adalah lebih bijaksana untuk kita memfokus segala kekuatan ke arah memperkasa Pakatan Harapan menuju PRU 14,” katanya.

– M’kini

.