ZAMIHAN: NAJIB DAN ZAHID BUKAN ‘GODFATHER’ SAYA

Pendakwah kontroversi Zamihan Mat Zin menafikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai ‘godfather’ atau ‘bapa angkat’ dirinya.

Zamihan berkata demikian selepas memuat naik dua keping gambar Najib dan Zahid melawat bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang berehat selepas pembedahan.

“Alhamdulillah. Masih ada pemimpin kita yang berjiwa mulia dan mengamalkan politik sejahtera. Alhamdulillah.

“Namun mereka bukan ‘godfather’ saya. Tuduhan saya memiliki ‘godfather’ adalah mainan fitnah ahli politik yang bermoral lacut. Cukuplah Allah dan Rasulnya yang menjadi penolong perjuangan Aswaja,” kata Zamihan di Facebooknya.

Pada 17 Oktober lalu Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad mendakwa Zamihan mungkin dilindungi ‘godfather’susulan kenyataan kontroversi presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA) berkenaan dobi mesra muslim di Muar.

Khalid mendakwa ‘odfather’itu cuba mengadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi menyelamatkan Zamihan susulan ucapan kontroversi itu.

Meskipun Khalid tidak menamakan ‘godfather’ berkenaan namun ia dipercayai merujuk kepada Ketua Pengarah Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Tan Sri Othman Mustapha dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir yang akan mengadap sultan Ibrahim.

Susulan dari itu Zamihan mengancam untuk menyaman Khalid yang menuduhnya mungkin dilindungi ‘godfather’.

Khalid bagaimanapun berkata beliau bersedia berhadapan dengan saman itu sekiranya Zamihan meneruskan niatnya dan akan mengemukakan bukti kepada pihak mahkamah.

Setakat berita ini ditulis, difahamkan, Khalid belum menerima surat guaman daripada pihak peguam Zamihan.

– M’kini

.