ZAMIHAN: MAZA SALAHI SUNNAH NABI

Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) menggesa Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin didakwa di mahkamah atas tuduhan menghasut.

Kata Zamihan Mat Zin, mufti Perlis itu sepatutnya tidak mencampuri isu mengenai Dr Zakir Naik dan bantahan pelbagai pihak terhadapnya, termasuk pertubuhan pendesak Hindu, Hindraf.

“Begitu juga dengan sikap Mohd Asri sebagai seorang mufti yang juga agamawan. Beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan atau puisi yang menyentuh sensitiviti agama lain ketika kita hidup di negara berbilang kaum, budaya dan agama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zamihan menjelaskan, walaupun Mohd Asri mendakwa memetik contoh yang berlaku di negara luar, sebagai agamawan mufti terbabit tidak sepatutnya menghina agama lain semasa meluahkan perasaannya.

Katanya ia adalah satu pramatang yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang mufti.

“Perbuatan menghina agama lain adalah jelas sebagaimana firman Allah SWT pada surah al-An’am ayat 108,” katanya.

Zamihan mengulas “Puisi Pagi Jumaat” nukilan Mohd Asri pada 21 April lalu. Dilihat meluahan rasa tidak senangnya dengan bantahan kepada Zakir, Mohd Asri menyentuh mengenai pihak “yang mempertuhankan lembu” serta “ajaran yang mengkastakan manusia”.

Biar kerajaan uruskan

Ia mendapat kecaman pelbagai pihak dan status pada Facebook itu kini didapati sudah dipadamkan.

Menurut Mohd Asri melalui puisi itu beliau menegur Perdana Menteri India, Narendra Modi. New Delhi kini memburu Zakir – yang lahir di Mumbai – untuk dibicarakan atas tuduhan jenayah.

Pendakwah berusia 51 tahun itu kini disahkan memiliki status pemastautin tetap di Malaysia.

Kata Zamihan, tindakan Mohd Asri bukan sahaja menyalahi sunnah Nabi Muhammad SAW, malah lebih daripada itu.

“(Ia) dikira bersifat hasutan dan patut dihadapkan ke muka pengadilan.

“Ini kerana kenyataan beliau jelas mencetuskan kegusaran dan ketegangan antara kaum dan agama dalam kalangan masyarakat di negara ini,” katanya lagi.

Zamihan yang selalu tidak sependapat dengan Mohd Asri juga berkata, Hindraf pula tidak sepatutnya mencampuri urusan pihak berkuasa negara ini, khususnya membabitkan isu dalaman umat Islam.

Mengenai waran tangkap dikeluarkan pihak berkuasa India, Zamihan berkata, isu itu biarlah diselesaikan antara kerajaan kedua-dua negara.

“Aswaja yakin kerajaan Malaysia dan India mempunyai cara tersendiri untuk menyelesaikan isu ini secara hikmah dan bijaksana serta memenangkan kedua belah pihak,” katanya.

MKINI

.