ZAMIHAN DILARANG BERCERAMAH DI SURAU, MASJID SELANGOR

JABATAN Agama Islam Selangor (Jais) mengeluarkan larangan sementara terhadap pendakwah Zamihan Mat Zin daripada berceramah di semua masjid dan surau di negeri itu, lapor The Star.

Pengarah Jais Haris Kasim mengeluarkan surat itu semalam bagi memaklumkan semua pentadbir masjid dan surau yang presiden Persatuan Ahli Sunnah Was Jamaah (Aswaja) itu sedang disiasat di bawah Akta Hasutan.

Semalam, Zamihan ditahan reman dua hari bagi membantu siasatan dakwaan mengkritik Sultan Johor berhubung kedai dobi Muslim di negeri itu.

Susulan siasatan itu, Haris berkata semua pentadbir masjid dan surau di peringkat akar umbi diarahkan “menggantung sementara” ceramah Zamihan, berkuat kuasa serta-merta.

Kes Zamihan disiasat oleh pasukan khas dari ibu pejabat polis Bukit Aman.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam satu kenyataan para Rabu mengesahkan Zamihan masih kakitangan jabatan itu, tetapi dipinjamkan ke Jabatan Penjara di bawah Kementerian Dalam Negeri.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.