ZAMBRY: UMNO PERAK TAK SEMBUYI MASALAH ‘BAWAH KARPET’ DI PAU 2016

IPOH – Umno Perak mengambil pendekatan ‘tidak menyembunyikan segala permasalahan di bawah karpet’, sebaliknya akan membangkitkan apa sahaja isu akar umbi pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2016.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, permasalahan itu akan disampaikan sebaik-baiknya oleh jurucakap yang dilantik tanpa menjejaskan kesatuan dan perpaduan parti.

Menteri Besar Perak itu berkata, antara yang akan dibangkitkan pembahas dari Perak sudah tentu menjurus kepada pelbagai cabaran dalam parti termasuk isu kepimpinan selain persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Sebagai parti politik, Umno tidak selamanya dalam persekitaran dinamik selain mempunyai pelbagai cabaran yang perlu dikenal pasti untuk menghadapi PRU14.

“Bagi konteks Perak, kami berusaha mengenal pasti setiap cabaran untuk memastikan sokongan rakyat kepada parti dan kerajaan berada pada tahap terbaik. Itulah yang kami bawa pada perhimpunan nanti,” katanya di sini baru-baru ini.

Ditanya kemungkinan terdapat pembahas sama ada dari Perak atau negeri lain yang berhujah secara lantang termasuk mengkritik kepimpinan, Zambry berkata sebagai parti yang matang dan terbuka, ia akan didengari sebaiknya.

“Saya menjangkakan hal itu. Jangan ingat kami (pemimpin) tiada siapa yang berani menegur, tapi biarlah secara matang,” katanya.

Zambry berkata, apapun yang dibangkitkan tidak semestinya dilihat daripada sudut negatif, tetapi perlu dijadikan iktibar dan persiapan untuk merangka gerak kerja ke arah PRU14 seterusnya memastikan Umno kekal relevan.

Katanya menyedari perhimpunan kali ini adalah yang terakhir sebelum PRU14, maka segala kekurangan atau kelemahan parti yang dibangkitkan perlu diperbaiki.

Mengenai saranan beberapa penganalisis politik supaya jurucakap yang dipilih mengelak daripada sindrom lawak, Zambry mempunyai pandangan berbeza dengan menyatakan ia penting untuk menceriakan suasana.

“Sindrom lawak bukan fenomena dalam Perhimpunan Umno dan saya tidak setuju kalau ada yang mengatakan kita tidak serius memikirkan hal berkaitan kelangsungan parti.

“Kena ingat walaupun ada ciri yang dikatakan lawak, tapi lawak bukan sebarang lawak, ia penuh sinis dan memberi mesej besar kepada parti,” katanya.

PAU 2016 akan berlangsung pada 29 November sehingga 3 Disember di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan dijangka dihadiri lebih 3,200 perwakilan termasuk 697 dari Perak.

– Bernama

.