ZAMAN TAKUT-TAKUTKAN ORANG MELAYU SUDAH BERAKHIR, KATA MCA

ERA retorik politik menakut-nakutkan orang Melayu dan Islam sudah berakhir kerana orang Melayu hari ini sedar bukan parti atau ahli politik yang menjaga kedudukan Islam serta kepentingan mereka di negara ini, kata pemimpin MCA.

Pengerusi Biro Keharmonian Agama, Ti Lian Ker berkata orang Melayu hari ini tahu Perlembagaan Persekutuan dan institusi raja-rajalah yang melindungi kedudukan Islam dan orang Melayu.

“Kalau tidak tahu pun, mereka sudah hilang keyakinan kepada ahli politik dan politik pura-pura mereka. Ahli politik dan parti politik mesti sedar hal ini.

“Kita tidak boleh menakut-nakuti orang sehingga orang tidak lagi percaya. Kepercayaan itu sudah hilang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kenyataan beliau ini dikeluarkan menjelang Perhimpunan Agung Umno 2017 yang bermula dengan pembukaan serentak persidangan tiga sayap Pemuda, Wanita dan Puteri di Pusat Dagangan Dunia Putra, malam ini.

Menurut Ti, gembar-gembur PAS dan Umno adalah pelindung dan penyelamat Islam dan Melayu tidak betul kerana kekuatan politik orang Melayu serta kedudukan Islam tidak terancam atau terkepung.

“Sebaliknya, manipulasi dan permainan Melayu dan Muslim oleh pemimpin politik Melayulah yang menyumbang kepada pelbagai masalah kita hari ini,” katanya.

Beliau mengingatkan Malaysia sebuah negara yang dibangunkan dengan semangat toleransi, tolak ansur dan konsensus, dan ia berjaya sehinggalah dirobek-robek oleh pemimpin politik yang tamak dan tidak beretika.

Ti juga mengingatkan tiada mana-mana pemimpin politik atau parti politik boleh mendakwa merekalah satu-satunya pelindung Melayu atau Islam.

Dakwaan demikian katanya, membayangkan institusi raja-raja atau Perlembagaan Persekutuan telah gagal, dan seolah-olah menghina Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Malah, retorik memperjuangkan Melayu atau Islam yang seolah-olah terancam tidak terpakai bagi sebuah negara yang pemimpin politik dan birokratnya hampir semuanya Melayu.

Menurut Ti, hakikatnya, orang Melayu sekarang mula mempersoalkan cara bagaimana negara ini ditadbir dan diurus, dan mereka mahu semak dan imbang yang lebih berkesan ke atas kuasa eksekutif yang rata-ratanya di tangan orang Melayu.

Kekecewaan ini jugalah yang menyebabkan orang Melayu mula bersuara dan tidak menyerahkan semuanya kepada pemimpin politik.

“Mereka tidak lagi mahu menelan bulat-bulat retorik politik masa lalu oleh pemimpin atau parti Melayu,” katanya, merujuk kepada suara-suara daripada kelompok seperti G25, Raja-Raja Melayu serta tokoh Melayu yang berjaya.

“Hanya masanya saja (mungkin bukan pilihan raya umum nanti), tsunami Melayu akan berlaku sekiranya tidak ada perubahan dasar, pendekatan dan pemikiran politik yang progresif,” katanya.

Menurut Ti, pemikiran progresif yang dicari-cari oleh rakyat ialah program transformasi kerajaan dan ekonomi (GTP dan ETP) serta Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang dibawa oleh Perdana Menteri Najib Razak.

– https://www.themalaysianinsight.com

.