ZAM TIDAK AKAN SERTAI PARTI BERSATU

Saya tidak akan sertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)yang diinisiatifkan oleh Mantan  Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir dan Bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi saya tidak penting,siapa saya?

Yang penting bukan saya tetapi jutaan rakyat yang sedang mencari borang keahlian parti ini dan sedang tertanya-tanya bagaimana hendak menyertainya.

Walaupun nama BERSATU tidak dibenarkan  tetapi nama PBBM yang diluluskan tetapi BERSATU telah meniti dan melekat di bibir rakyat,suatu nama yang catchy dan lebih  diingati.

Saya hadapi pertanyaan untuk penyertaan parti ini dari Pulau Sayak Pantai Merdeka Kedah  hingga ke Kuala Lumpur dan Putrajaya. Orang datang menemui saya kerana menyangka saya adalah sekutu Mahathir.Saya rasa, saya lebih popular sebagai bloger dari semasa menjadi Menteri. Mungkin kerana blog saya tidak comformist dan sebahagian besar yang lain telah senada.

Saya beritahu mereka ,selain dari umur yang sudah lanjut dan tidak pernah berminat menjadi ahli politik,saya mahu mengakhiri hidup saya sebagai wartawan.

Jadi menteri dulu pun sebagai  bidan terjun dan hanya jadi ahli UMNO setelah menjadi Senator dan kerana diminta bertanding dalam Pilihanraya Parlimen tetapi saya boleh mendakwa darah daging saya lebih tebal dari darah kebanyakan orang UMNO kerana saya mengenali,memahami   dan menghayati UMNO lebih dari mereka sendiri.

Sebagai wartawan dari sejak umur lebih 18 tahun saya telah berkhidmat di bawah Perdana – Perdana  Menteri: Tunku Abdul Rahman,Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Dr.Mahathir.

Maka itulah juga sebabnya saya tidak serasi dengan Anwar Ibrahim dan tidak berada dalam khemahnya bila dia berada dalam UMNO kerana saya dapat menciumi  denyut nadinya yang tidak sebati dengan UMNO.

Saya pernah membuat kenyataan terbuka bahawa kesilapan Mahathir adalah membawa masuk Anwar Ibrahim ke dalam UMNO.

Tetapi sekarang keadaan telah berubah.Mereka yang masih berada dalam UMNO masih tidak dapat merasakan bahawa UMNO sekarang bukan lagi UMNO.

Saya tidak pernah merasa terasing dan terhina sebagai seorang berjiwa  UMNO di bawah Perdana-Perdana Menteri yang pernah saya berkhidmat sebelum ini tetapi saya merasa saya kehilangan maruah di bawah UMNO sekarang ini.

Banyak sebab untuk kita merasa kehilangan keyakinan diri sekalipun dalam keterampilan Najib yang penuh dengan semangat tinggi. Kita lebih merasakan kepura-puraan dari ketulenan.

Saya juga sampai pada taraf berfikir bahawa sekiranya  Tun Ghafar Baba menjadi Perdana Menteri, keadaan tidaklah seburuk  hari ini malah Anwar Ibrahim jika menjadi Perdana Menteri akan jauh lebih baik dari Najib Tun Abdul Razak.

Mungkin ramai yang telah berfikir bahawa “Kesesatan” Anwar Ibrahim harus dimaafkan kerana itu adalah antara beliau dengan Tuhan  tetapi kesilapan dan dosa pada negara terbenam  menyeluruh dalam hati sanubari rakyat yang  sukar untuk dihakiskan.

Anwar sendiri juga telah sanggup melupakan perasaan dendam keluarganya pada Tun Mahathir.

UMNO tidak  lagi boleh memikirkan  perseteruan masa lalu  Mahathir -Anwar sebagai tembok halangan untuk rakyat  ” BERSATU” kerana jika dulu UMNO tidak diterima oleh orang muda tetapi sekarang veteran UMNO juga membelakangkan UMNO. Sokongan pegawai-pegawai kerajaan juga hanya lah hipokrasi. Lain dimulut lain dihati.

Kenyataan bersama mempertahankan hak rakyat dan demokrasi yang dikeluarkan oleh Mahathitr dan Anwar  kelmarin  menunjukkan bahawa walaupun Anwar memahami perasaan anak perempuannya Nurul  Nuha supaya Mahathir meminta maaf lebih dahulu kepada keluarga mereka kerana menyingkir dan memenjarakannya sebelum “BERSATU” tetapi  nampaknya  sudah tidak menjadi syarat lagi kepada Anwar.

Sejarah hitam masa lalu antara kedua mereka  telah terpadam apabila mereka sanggup  menandatangani suatu kenyataan bersama pada 19 September 2016. Mereka  membuktikan kesanggupan untuk mengutamakan hak rakyat dari kepentingan diri mereka sendiri.

 Majlis Raja-Raja Melayu

Kenyataan bersama Mahathir-Anwar
 – http://zamkata.blogspot.my/