ZAKIR NAIK DIHANTAR BALIK JIKA INDIA MOHON EKSTRADISI, KATA ZAHID

PENCERAMAH kontroversi Dr Zakir Naik akan dihantar semula ke India sekiranya negara berkenaan membuat permohonan ekstradisi, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

“Jika pihak India memohon supaya ekstradisi dikenakan ke atas beliau, berdasarkan kepada Mutual Legal Assisten (MLA) kita akan hantar beliau. Setakat ini tidak ada permohonan,” kata Zahid yang juga menteri dalam negeri di Parlimen hari ini.

“Buat masa ini, tiada sebarang permohonan yang berkaitan,” kata Zahid, menjawab soalan ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo.

Bulan lepas, Putrajaya menafikan memberi “layanan istimewa” kepada Zakir yang menjadi pemastautin tetap di Malaysia selama lebih lima tahun.

Zahid berkata Zakir tidak melanggar mana-mana undang-undang di Malaysia.

Beliau terus menafikan dakwaan media asing bahawa Dr Zakir memohon untuk menjadi warganegara Malaysia.

“Setakat ini tidak ada permohonan untuk menjadi warganegara daripada beliau,” katanya mengulas pertanyaan Gobind yang memetik laporan The Hindustan Times pada 30 Mei lalu.

Minggu lalu, Times Of India melaporkan India akan membuat permintaan rasmi kepada Malaysia bagi mengekstradisi Dr Zakir Naik.

Zakir, seorang doktor berusia 52 tahun, dilaporan telah menimbulkan kontroversi apabila mencadangkan hukuman mati dikenakan ke atas golongan homoseksual dan murtad.

Minggu lalu, agensi anti keganasan India telah menyiapkan kertas pertuduhan terhadap Zakir dengan dakwaan beliau “memperomosikan kebencian dan permusuhan di antara kumpulan agama di India melalui ucapan umum dan ceramah.”

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran mempersoalkan tindakan kerajaan memberi taraf penduduk tetap kepada Zakir Naik sedangkan pasport antarabangsanya telah disekat India.

Malah, penceramah itu juga tidak fasih berbahasa Melayu dan tidak memberi sumbangan kepada negara.

Zahid bagaimanapun menegaskan permohonan penduduk tetap dibuat sebelum passportnya ditarik dan syarat penduduk tetap tidak memerlukan individu fasih berbahasa Melayu.

“Kad pengenalan mastautin tetap telah diberikan kepada Zakir secara teratur dan ikut prosedur.

“Bagi mendapatkan permit masuk (Malaysia), syarat fasih bahasa Melayu bukan keutamaan. Syarat fasih diberikan kepada permohonan untuk menjadi warganegara,” kata Zahid lagi.

Zahid turut memberi jaminan pihaknya akan sentiasa memantau kegiatan Zakir Naik dan mengambil tindakan jika ada unsur kegiatan keganasan.

“Kerajaan sentiasa pantau aktiviti Zakir Naik. Kita akan ambil tindakan jika beliau didapati terlibat keganasan, tetapi setakat ini beliau tidak terlibat dalam mempromosikan keganasan,” kata Zahid lagi.

– https://www.themalaysianinsight.com

.