ZAIRIL MAHU URUS SENDIRI ISU GAMBAR MESRA MIRIPNYA

GEORGETOWN – Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari meminta menguruskan isu gambar mesra yang dikatakan miripnya yang tersebar di media sosial.

Perkara itu disahkan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dalam kenyataan medianya sebentar tadi.

Kon Yeow berkata, beliau dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sudah berjumpa Zairil yang juga Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang.

Menurutnya, perjumpaan itu dibuat bagi memberi penerangan perkara itu kepadanya dan Guan Eng.

“Dia (Zairil) telah memberi penerangan kepada saya dan Guan Eng  berhubung laporan akhbar yang mengaitkan beliau dengan beberapa gambar yang disiarkan dalam media sosial baru-baru ini petang kelmarin.

“Memandangkan ini merupakan serangan terhadap peribadinya, Zairil meminta untuk menguruskan isu berkenaan untuk waktu ini.  Kenyataan ini dikeluarkan untuk memberi maklumat kepada umum yang mengikuti isu ini,” katanya.

Dua hari lalu, satu siri gambar yang memaparkan seorang lelaki dan seorang wanita di sebuah restoran, di mana sekeping daripadanya menggambarkan pasangan itu sedang bercumbu menjadi tular di kalangan kumpulan sembang WhatsApp dan media sosial.

Lelaki di dalam siri gambar berkenaan dikatakan mirip Zairil dan manakala wanita berkenaan mirip Dyana Sofya Mohd Daud.

Penyebaran gambar itu adalah serangan kali ketiga buat kedua-duanya selepas satu klip video di dalam sebuah kelab malam yang memaparkan sepasang lelaki dan wanita yang juga dikatakan mirip Zairil dan Dyana.

– SH