ZAIDI DIPELAWA SERTAI UMNO

BUKIT MERTAJAM – Pegawai Penerangan Ketua Menteri yang juga bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Zaidi Ahmad dipelawa untuk menyertai Umno selepas kelibatnya beberapa kali dilihat dalam majlis anjuran parti itu.

Pada Selasa lalu, Zaidi dilihat menghadiri majlis Dialog Perjuangan 4All anjuran Umno yang diadakan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau manakala pada Rabu beliau sekali lagi menghadiri program sama yang diadakan di Wisma Transformasi Umno Bahagian Permatang Pauh.

Pada sesi dialog di Balik Pulau, Zaidi mengambil peluang bertanyakan soalan mengenai mengenai laporan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada panel yang terdiri daripada Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa dan Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Hilmi Yahaya.

Manakala pada sesi dialog di Permatang Pauh, beliau turut membangkitkan isu sama bagi mendapatkan pencerahan daripada pimpinan Annuar dan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Kehadiran Zaidi di dalam dewan itu diterima baik penyokong Umno pada mulanya namun ketika beliau mula mengajukan soalan keadaan dewan menjadi agak sedikit kecoh selepas beliau terus mengajukan soalan mengenai isu DoJ dan 1MDB.

Bagaimanapun keadaan tegang itu berjaya ditenangkan oleh Annuar dan bersedia menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Zaidi.

Difahamkan, Zaidi meninggalkan dewan berkenaan tidak lama kemudian sebelum dialog itu berakhir dan ketika beliau berada di luar dewan, beberapa penyokong Umno bersalaman dengannya dan mempelawa beliau untuk mengisi borang menyertai parti itu.

Zaidi ketika dihubungi berkata, kehadirannya ke majlis dialog itu bagi melihat dan mendengar sendiri jawapan yang akan diberikan oleh pimpinan Umno mengenai persoalan dibangkitkan dan bukannya ingin melakukan sebarang provokasi.

Katanya, beliau tidak langsung teruja untuk menyertai Umno malah menolak pelawaan dengan baik.

Sementara itu, Annuar dalam sidang media selepas sesi dialog itu berkata, tindakan Zaidi itu membuktikan DAP kini bersifat lebih agresif terhadap lawan politiknya.

– http://www.sinarharian.com.my

.