ZAID TAK KENA PUKUL, SIASATAN POLIS PROFESIONAL

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim hari ini memberi keterangan berhubung tulisannya di media sosial yang didakwa mempersoalkan titah Sultan Selangor.

Ahli DAP itu tiba pada jam 9.30 pagi ditemani peguamnya, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, Ronnie Liu serta beberapa lagi penyokong dan ahli parti.

Menjawap soalan wartawan yang secara berseloroh menyoal sama ada dirinya dipukul semasa sesi soal-siasat itu, Zaid berkata polis bersikap profesional.

“Polis bersikap profesional, tanya saya soalan-soalan yang sesuai, terima kasihlah,” katanya.

Menurutnya, siasatan hampir sejam itu adalah mengenai tweet yang dibuatnya yang menasihatkan  sultan Selangor supaya berhati-hati bila mengemukakan kenyataan.

“Saya jelaskan tweet itu adalah respon daripada kenyataan sultan tentang (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) dan saya jelaskan bahawa itu adalah pandangan saya. Itu bukan pandangan kumpulan lain atau parti lain atau pembangkang, itu kenyataan saya.

“Saya rasa bertanggungjawap untuk memperjelaskan peranan seperti saya kata tadi, (konsep) raja berpelembagaan – bagaimana kita harus menjaga negara ini, mengekalkan sistem demokrasi ini dengan memahami apa yang perlu dilakukan oleh semua pihak,” katanya.

Dalam temu bual dengan akhbar The Star yang disiarkan pada 5 Disember lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertititah “kemarahan” bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu bakal “membakar” negara ini.

Baginda juga menganggap Mahathir sebagai seorang tidak mahu penggantinya mengatasi legasinya serta mempunyai”kebencian yang mendalam”.

Zaid pada hari yang sama menulis di media sosial bahawa sultan Selangor itu seharusnya berhati-hati dengan kenyataannya dan bahawa tiada siapa yang kebal apabila negara ini terbakar.

Susulan itu, beberapa pemimpin Umno tampil membidas Zaid tetapi bekas menteri itu berkeras bahawa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bagaimanapun mengesahkan bahawa Zaid sedang disiasat di bawah Akta Hasutan dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Menurutnya, sebanyak dua laporan polis sudah dibuat berkaitan isu terbabit.

Mengulas lanjut, Zaid berkata, beliau dimaklumkan bahawa dirinya mungkin dipanggil semula jika diperlukan.

“Saya rasa itu biasalah, polis akan panggil bila-bila masa.

“Saya pun kata saya tak ada cuti, jadi bila-bila boleh datang,” katanya.

– M’kini

.