ZAID: MESEJ TAHUN BARU 2017

Sekarang adalah masa yang biasanya kita akan menerima mesej tahun baru dari pemimpin-pemimpin kita. Perdana Menteri sudah pasti akan menyampaikan mesejnya sebagaimana biasa dalam beberapa hari lagi. Saya bukanlah ketua atau pemimpin kepada mana-mana kelompok, tetapi kata-kata yang ingin saya sampaikan ini adalah lahir dari hati yang ikhlas.

Saya tidak pernah bimbang tentang masa depan negara sebelum ini sebagaimana bimbangnya dengan keadaan sekarang. Saya tidak pernah terfikir bahawa Malaysia boleh begini berpecah dalam masa yang singkat. Tetapi pada tahun 2017, kita semua boleh melakukan sesuatu untuk memulihkannya jika kita mahu.

Orang Melayu mempunyai peluang besar untuk membuat pilihan yang mampu menebus dan mengubah kehidupan mereka untuk generasi akan datang. Untuk menebusnya, mereka boleh mengambil wang BR1M yang diberikan kerajaan, tetapi tidak perlu berasa terhutang budi untuk mengundi BN. Untuk bebas, mereka jangan merasa terhutang budi yang tidak kena pada tempatnya. Mereka juga tidak boleh menerima semua yang disiarkan oleh TV3 tanpa mengimbanginya dengan sumber-sumber lain.

Alternatif Melayu adalah untuk memilih antara terus menjadi “hamba” kepada pemimpin yang korup atau sebaliknya. Peneroka Felda mempunyai pilihan untuk sama ada terus kekal dalam hutang dan selesa dengan wang pendahuluan bulanan sebanyak RM1,500. Mereka sebenarnya tidak akan mempunyai cukup hasil untuk membayar balik dalam skim yang ada sekarang. Tetapi mereka boleh menjadi peneroka sabenar dengan mengundi sebuah kerajaan baru.

Rakyat Malaysia di kawasan bandar boleh membuat keputusan antara mahu sebuah kerajaan yang membelanjakan beratus-ratus bilion ringgit untuk membeli peralatan perang dari China, kereta api laju dan bangunan 100 tingkat atau keperluan kepada dana yang lebih besar untuk pendidikan anak-anak, perumahan dan kemudahan asas yang lain.

Seramai 2.5 juta graduan muda yang mengambil pinjaman PTPTN juga turut mempunyai pilihan. Pada ketika ini, harga diri mereka bagaikan diletak ke tepi dan maruah pula dicincang-cincang. Disebabkan tidak dapat membayar balik pinjaman, mereka kini disenaraihitamkan yang menyebabkan mereka tidak dapat membuka akaun bank, sukar memulakan perniagaan dan tersekat untuk pergi ke luar negara. Mereka tidak lebih umpama buruh kasar saja. Mereka tidak akan menerima nasib seburuk ini jika mereka berada di bawah kerajaan yang lebih bertanggungjawab dan berwibawa.

Sebuah kerajaan yang bertanggungjawab seharusnya patuh kepada undang-undang dan syarat tentang mengapa PTPTN ditubuhkan. Dalam menyemak kelayakan pelajar, kerajaan yang bertanggungjawab tidak akan memberi pinjaman kepada pelajar dengan mudah, yang tujuannya semata-mata memenuhkan tempat di kolej-kolej swasta yang dimiliki yang pihak-pihak tertentu ada kepentingan di dalamnya. Pinjaman PTPTN adalah seperti kad kredit – kita perlu bertanggungjawab dalam memberikan kemudahan itu atau mereka mungkin berakhir dengan beban hutang yang parutnya akan ditanggung seumur hidup.

Anak-anak muda Malaysia kini boleh memilih antara kerajaan yang mampu menguruskan masalah kewangan mereka dengan wawasan jauh berkaitan pendidikan dan penjagaan lain atau mereka boleh terus hidup di bawah pemimpin yang tidak cekap yang boleh menghancurkan kehidupan mereka.

Sabah dan Sarawak juga boleh membuat keputusan sama ada mereka mahu terus diterajui oleh pemimpin-pemimpin yang tidak cekap dan rasuah di Putrajaya atau mereka boleh menjadi rakan kongsi sebenar dalam negara ini. Mereka boleh membuat keputusan jika konsep Sarawak adalah untuk rakyat Sarawak dan Sabah untuk rakyat Sabah adalah memadai atau mereka boleh memainkan peranan yang lebih tinggi untuk menyelamatkan negara ini.

Pada pandangan saya, Sabah dan Sarawak perlu sama-sama meningkat dan seiring dengan pemimpin-pemimpin dari Semenanjung untuk mengukir masa depan yang baru dan lebih cerah.

Ahli-ahli perniagaan Malaysia pula boleh membuat keputusan sama ada mereka sanggup atau tidak membiarkan Negara China menguasai ekonomi, pelaburan strategik dalam infrastruktur dan hartanah di negara ini. Mereka mesti tahu bahawa sekarang ini semua pelabuhan utama, loji janakuasa, hartanah terpilih dan laluan kereta api di seluruh negara sudah berada dalam tangan orang-orang dari Beijing.

Mereka juga perlu tahu bahawa orang-orang dari Beijing tidak lama lagi akan membeli semua tanah di bandar-bandar besar dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan lain-lainnya. Orang-orang dari Beijing ini akan mengambil segala-galanya kerana Putrajaya sudah kehabisan wang .

Mereka boleh duduk diam-diam dengan harapan tauke Cina dari Wuhan dan Tianjin akan beri mereka peluang membekalkan kertas tandas dan air mineral. Tetapi mereka akan kecewa akhirnya. Tauke dari Negara Cina akan mengawal segala-gala yang ada di bawah langit Malaysia sehingga tidak ada apa-apa yang penduduk tempatan boleh lakukan kecuali menjadi “pak turut” dan sub-kontraktor kecil-kecilan.

Kita semua sebenarnya mempunyai pilihan dan saya berharap kita dapat membuat keputusan yang betul pada tahun 2017. Selamat Tahun Baru.

– http://www.zaid.my/

.