ZAID IBRAHIM SAH SERTAI DAP

PETALING JAYA – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim, mengesahkan menyertai DAP.

Beliau mengesahkan perkara itu  dalam satu sidang media di rumahnya di Petaling Jaya, hari ini.

Zaid berkata, keputusan ini dibuat kerana beliau melihat DAP sebagai satu parti yang efektif menyelesaikan masalah rakyat.

Menurutnya, itu merupakan faktor utama beliau memilih parti tersebut.

“Parti politik memerlukan pemimpin yang baik untuk menyelesaikan masalah rakyat terutamanya rakyat di strata bawahan.

“Jika lihat Pulau Pinang yang ditadbir baik oleh DAP menunjukkan parti ini membawa penyelesaian kepada masalah rakyat, itu lah yang saya cari di dalam sebuah parti politik,” katanya.

Pengakuan Zaid ini seterusnya mengesahkan laporan berita yang mendakwa beliau akan kembali aktif dalam bidang ini dengan menyertai DAP.

Tambahnya lagi, beliau percaya dengan prinsip yang dipegangnya sejak bergiat dalam politik.

“Saya bergiat lama dalam bidang ini dengan satu prinsip, iaitu pemimpin mesti ikhlas, bertanggungjawab  dan berlaku adil pada semua golongan tanpa mengira bangsa atau kedudukan.

“Saya percaya DAP mampu membantu saya mencapai matlamat ini,” katanya lagi.

Menurut Zaid, beliau juga berterima kasih dengan kepimpinan DAP kerana meluluskan permohonannya.

“Terima kasih kepada kepimpinan DAP terutamanya Lim Kit Siang yang menerima permohonan saya sebagai ahli.

“Saya tidak berhasrat untuk memegang sebarang jawatan di dalam parti dan hanya ingin menyumbang di dalam usaha membangunkan semula negara tercinta ini,” katanya.

– Sinar Harian

.