ZAID: DEMI MELAYU, KELANTAN PERLU DISELAMATKAN DARI PAS

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim, hari ini menyatakan ketegasan betapa perlunya menyelamatkan negeri Kelantan daripada PAS.

Menurut bekas anggota parlimen Kota Bharu itu, orang Melayu hari ini menjadi miskin kerana terlalu taksub dengan ajaran PAS sehingga membantutkan kemajuan diri daripada membangunkan potensi sebenar mereka.

“Inilah sebabnya, pada pilihan raya kali ini saya akan menghabiskan banyak masa di negeri saya sendiri. Saya akan cuba memberitahu pengundi seberapa banyak yang saya dapat bahawa pentadbiran PAS mesti berakhir.

“Orang Melayu mesti maju dari segi ekonomi dan mereka mesti kekal sederhana dalam pemikiran mereka.

“Mereka mesti kembali ke zaman mereka terkenal dengan kemahiran keusahawanan dan perniagaan.

“Mereka mesti kembali ke zaman ketika budaya dan tradisi mereka dihormati dan dibiarkan tumbuh,” kata Zaid yang berasal dari Kelantan dalam tulisan di blognya, hari ini.

Beliau yang kini merupakan ahli DAP turut mengkritik seorang ahli akademik Cina yang mendakwa kerjasama antara Umno dan PAS akan membawa kestabilan kepada negara.

Ahli akademik itu, katanya, malah mendakwa hudud dan Rang Undang-undang 355 (RUU355) adalah positif kerana ia akan menggembirakan orang Melayu dan dengan itu membawa kestabilan, yang akan membawa kepada kemasukan pelaburan asing.

Bagi Zaid, ahli akdemik tersebut sebenarnya adalah “tolol”.

“Tidak akan wujud kestabilan apabila orang Melayu yang miskin dipotong tangannya kerana mencuri, manakala orang Melayu yang kaya dapat mencuri sewenang-wenangnya.

“Tidak akan ada kestabilan apabila orang Melayu menjadi lemah secara mental dan mereka menjadi tidak relevan dalam ekonomi kerana mempercayai perkara karut yang diajar oleh PAS berhubung duniawi.

“Pilihan raya akan datang akan menentukan jika orang Melayu boleh diselamatkan. Kekalahan PAS di Kelantan penting bagi kebangkitan semula mereka,” katanya.

– M’kini

.