ZAID BERTANGGUNGJAWAB DENGAN KATA-KATANYA, KATA AZMIN

BEKAS menteri di Jabatan Perdana Menteri Zaid Ibrahim perlu bertanggungjawab ke atas komen yang dibuat terhadap Sultan Selangor, kata Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali hari ini.

“Beliau mesti bertanggungjawab dengan apa yang dikatakannya,” kata Azmin memetik laporan The Star Online selepas menghadiri Istiadat Penganugerahan Darjah dan Bintang Kebesaran sempena Hari Keputeraan Ke-72 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini.

Zaid menerusi laman blognya berkata, Azmin sepatutnya menyertainya dalam siri jelajah untuk menjelaskan tweetnya terdahulu mengenai sultan kepada rakyat.

“Menteri Besar Selangor berkata saya mempunyai tanggungjawab untuk menjelaskan tweet dua baris saya kepada rakyat. Saya akan lakukan, tetapi beliau mesti hadir sama. Beliau memahami sepenuhnya tweet saya dan k eadaan dan konteks ia dibuat, jadi beliau boleh sertai saya. Beliau lelaki yang berani, kerana dengan berbuat demikian boleh menyebabkan sultan murka. Itulah sebabnya tiada siapa yang bercakap secara terbuka mengenainya,” tulis Zaid dalam blognya.

Zaid, yang kini ahli DAP, menulis tweet minggu lalu yang menyatakan Sultan Selangor harus berhati-hati dalam mengeluarkan titah dan tidak cuba bermain dengan politik kepartian.

Sultan Selangor kemudiannya menegur Zaid dan bertitah Zaid boleh “balik ke Kelantan sekiranya tidak setuju dengan teguran baginda” lapor Utusan.

“Saya dukacita dengan komen Zaid dalam Twitternya yang mengulas titah saya (mengenai Mahathir) dalam akhbar The Star. Saya minta Zaid baca dengan teliti kenyataan saya dan dapatkan fakta yang betul sebelum buka mulut.

“Dia duduk di Selangor, baliklah Kelantan kalau tak setuju, buat rumah besar dan tolong rakyat Kelantan. Jangan cari rezeki di Selangor,” titah baginda.

Tweet Zaid turut menyaksikan ketua bahagian Umno Sungai Besar Jamal Yunos membakar keratan kadbod ahli DAP itu pada perhimpunan agung Umno baru-baru ini.

Jamal turut menggunakan tukul besi untuk menghentak gambar Zaid dan mengancam untuk menukul kepala Zaid kerana mengkritik sultan. Beliau bagaimanapun ditahan pada Sabtu dan dibebaskan hari ini dengan ikat jamin.

Zaid mempertahankan kenyataannya dan berkata beliau hanya mempertahankan hak rakyat untuk memilih dalam politik dan pentadbiran.

– https://www.themalaysianinsight.com

.