Beliau berkata, pindaan Perlembagaan parti itu boleh dibuat menerusi mesyuarat agung luar biasa (EGM) supaya jawatan itu diwujudkan bagi tujuan penyelarasan dan mengelak keka­ngan yang bakal timbul oleh Naib Presiden yang diamanahkan menggalas jawatan tersebut.

“Cadangan untuk EGM itu akan dibawa ke mesyuarat pengurusan dan dilanjutkan untuk mendapatkan kelulusan daripada Majlis Tertinggi supaya terdapat dua sesi selain Perhimpunan Agung UMNO yang biasa,” katanya dalam sidang akhbar selepas menutup Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah 2.0, di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Pertahanan yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahmad Zahid yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO ketika ini berkata, selain beliau, situasi berkenaan pernah berlaku ketika bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa kedua-dua pemimpin itu selaku Naib Presiden dan diamanahkan menjalankan tugas Timbalan Presiden.

“Kekangan menjalankan tugas itu kerana ia tidak termaktub dalam perlembagaan parti dan jawatan ini perlu diwujudkan untuk kebaikan generasi akan datang.

“Tidak seperti dalam Pemuda UMNO, jawatan pemangku Ketua Pemuda wujud dalam Perlembagaan parti tetapi jawatan Pemangku Timbalan Presiden tidak ada, jadi untuk penyelarasan dan konsistensi, itu harus dilakukan,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai konvensyen tersebut, beliau berkata, UMNO mengambil kira semua pendapat kumpulan masyarakat termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan para intelektual dalam perbahasan usul semasa Perhimpunan Agung UMNO.

Kata beliau, ini dibuktikan bahawa parti itu tidak mengetepikan isu kemajmukan masyarakat negara ini dalam kepelbagaian agama dan bangsa untuk dibincangkan dan diteliti sebaik-baik­nya di peringkat kerajaan.

“Konvensyen ini merupakan pandangan berbentuk keterangkuman dan akan diteruskan sebagai tradisi sebelum Perhimpunan Agung UMNO bahawa semua usul akan ditelaah dan diperkasakan serta mengetengahkan aspek baharu untuk menterjemahkan agenda UMNO,” katanya.

UTUSAN

.