ZAHID: TIADA SJKC AKAN DITUTUP

BAGAN DATUK – Tiada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) akan ditutup oleh kerajaan walaupun terdapat masalah kekurangan pelajar di sekolah berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, terdapat 1,298 buah SJKC buat masa ini dan jumlah tersebut akan bertambah selepas perdana menteri meluluskan untuk membina 10 buah SJKC baharu tahun ini.

“Jadi, jika ada pihak yang tabur fitnah bahawa SJKC akan dihapuskan adalah tidak benar sama sekali kerana kerajaan tidak akan melakukannya.

“Boleh pegang janji saya bahawa tidak akan ada SJKC yang akan ditutup walaupun satu oleh kerajaan Malaysia,” katanya ketika berucap pada Program Kembali Ke Sekolah anjuran Pusat Perkhidmatan Ahli Parlimen Bagan Datuk dan Pejabat Pendidikan Daerah Bagan Datuk di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong San, Sungai Burung, petang ini.

Tambahnya, masyarakat Cina terutama sekali ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah di SJKC tidak perlu berasa bimbang dengan khabar angin serta fitnah tersebut.

“Apa yang penting ibu bapa pelajar-pelajar di SJKC perlu memberi perhatian dalam memastikan pencapaian cemerlang anak-anak mereka,” katanya.

– http://www.sinarharian.com.my

.