ZAHID TAWAR DIRI DISIASAT SPRM

TIMBALAN Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi sedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membersihkan namanya daripada tuduhan beliau mempunyai wang tunai RM230 juta dalam akaunnya semasa menjadi pemimpin Pemuda Umno.

“Beliau (Dr Mahathir Mohamad) mahu SPRM menyiasat kononnya saya ada wang tunai sebanyak itu. Saya dengan ini terbuka hati dan menawarkan diri untuk disiasat SPRM demi membetulkan persepsi dan pembohongan  orang itu,” kata Zahid kepada perwakilan mesyuarat Umno Bahagian Baling hari ini.

Pada masa sama, Zahid turut meminta SPRM menyiasat harta Dr Mahathir dan kekayaan ahli keluarganya.

“Cuma minta (SPRM siasat). Kalau hang bagi satu, aku bagi satu; hang bagi dua, aku bagi dua, baru namanya (telus).”

Zahid menjelaskan tidak ada salahnya kalau betul sekali pun beliau pernah ada wang tunai sebanyak itu kerana pada ketika itu beliau seorang ahli perniagaan.

“Saya seorang ahli perniagaan pada ketika itu. Saya diberi peluang untuk menjadi CEO sebuah syarikat yang tersenarai. Saya jadi pengerusi tiga lagi syarikat yang tersenarai.

“Kalau betul pun saya ada harta sebanyak itu, saya tidak salah untuk berniaga kerana saya bukan pegang jawatan atau anggota pentadbiran dalam kerajaan,” kata naib presiden Umno itu.

Zahid yang menjalankan tugas timbalan presiden Umno selepas Muhyiddin Yassin disingkirkan daripada parti tahun lalu menegaskan beliau mahu SPRM membersihkan namanya.

Zahid pernah menjadi pengerusi Bank Simpanan Nasional, Ramatex Berhad, Tekala Corporation Berhad dan Seng Hup Berhad serta pengarah Permodalan Nasional Berhad dan CEO Kretam Holdings Berhad, sebelum menjadi ketua Pemuda Umno pada 1996.

Jangan gigit tangan yang menyuap

Zahid yang juga menteri dalam negeri sekali lagi menafikan beliau berkomplot dengan Dr Mahathir untuk menjatuhkan Najib pada 2015.

“Saya kenal Datuk Seri Najib ini lama sebelum saya dilantik sebagai setiausaha politik beliau di Kementerian Belia dan Sukan (pada) 1 Oktober 1987. Saya masih berkhidmat dengan beliau sehingga sekarang. Ertinya, saya bertugas di bawah Datuk Seri Najib 30 tahun.

“Saya tidak pernah menggigit orang yang bagi makan pada saya apatah lagi untuk menikam dari belakang  ,” katanya.

Menurut Zahid banyak pihak mencabarnya untuk mendedahkan rakaman perbualan beliau dengan Dr Mahathir pada 2015, yang berlangsung tidak lama selepas Zahid menjadi timbalan perdana menteri setelah Najib menyingkirkan Muhyiddin daripada kerajaan.

“Ya, saya akan buka (rakaman itu) tetapi saya tidak sebodoh itu.

“Rakaman itu bukan hanya ada pada saya. Rakaman itu juga ada pada pihak yang berkenaan.

“(Rakaman) itu masih disimpan dan dianalisa serta dinaratifkan oleh polis, walaupun setelah dua tahun.”

Dr Mahathir dikatakan mencadangkan dalam perbualan itu untuk menyingkirkan Najib melalui undi tidak percaya.

Menurut Zahid beliau berjumpa Najib terlebih dahulu sebelum mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir.

“Beliau (Dr Mahathir) pada ketika sudah mula hendak menjatuhkan Datuk Seri Najib. (Saya pergi berjumpa dengannya) Mudah-mudahan, walaupun saya dianiaya oleh beliau beberapa kali tetapi saya masih mempunyai rasa hormat kepada beliau. Saya pergi atas keizinan Datuk Seri Najib.”

Zahid juga memaklumkan bahawa beliau tidak ada niat untuk mengungkit keturunan darah India Dr Mahathir.

“Saya bukan mahu menghina keturunan, tidak. Saya buta warna. Saya tidak mahu membezakan kerana Malaysia adalah negara yang bermasyarakat majmuk. Kita mesti menghormati antara satu sama lain.

“Tetapi saya tidak boleh kalau orang itu berbohong, termasuk tuduhan kononnya saya ada wang tunai 230 juta ringgit,” katanya.

Drama Zahid-Dr Mahathir ini bermula selepas timbalan perdana menteri itu mengungkit susur galur keturunan India bekas perdana menteri itu.

Dr Mahathir membalas serangan itu dengan mendedahkan bahawa Zahid kononnya mahu menyingkirkan Najib dan pernah ada kekayaan bernilai RM230 juta semasa jadi ketua pemuda UMNO.

Zahid dalam ucapannya pada mesyuarat Umno Bahagian Merbok malam tadi mengingatkan Dr Mahathir zamannya sudah berlalu dan menasihatkan bekas perdana menteri itu supaya “duduklah diam-diam, zikirlah banyak-banyak.”

– https://www.themalaysianinsight.com

.