ZAHID SEDIH? TAPI MENGAPA TAK BANGUN BUAT BANTAHAN….

Menurut kata Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, beliau sedih melihat bantahan terhadap usaha memperkasa Mahkamah Syariah sedangkan langkah tersebut hanya ingin memberi martabat yang tinggi kepada agama.
Tambah beliau, orang bukan Islam tidak patut mencampuri hal mengenai pemerkasaan Mahkamah Syariah yang sebenarnya adalah isu umat Islam.
“Kumpulan yang tidak sama akidah dengan kita tidak harus mengajar macam mana untuk memperkukuh undang-undang agama kita.
“Kita tidak berhasrat untuk menyentuh agama lain. Hormati agama saya jika anda ingin saya hormati agama anda,” tegas Zahid lagi.
Rasanya tidak ada sesiapa ingin mempertikaikan kenyataan Zahid itu. Ia adalah sesuatu yang benar, tiada yang tidak benar, melainkan benar belaka.
Tetapi Zahid juga harus jujur kepada dirinya, sentiasa berkata benar dan tidak cuba menutup kebenaran yang terpampang di depan mata dengan gambaran yang mengelirukan.
Siapakah yang menentang daripada awal lagi usaha memperkasa Mahkamah Syariah melalui pindaan Akta 355 sehingga mengugut mahu meletakkan jawatan dalam kerajaan?
Siapakah yang membuatkan kerajaan terpaksa membuat pusingan U dalam Mesyuarat BN, meskipun Najib Razak sudah berjanji dalam Perhimpunan Agung UMNO untuk menjadikan pindaan Akta 355 sebagai usul kerajaan?
Mengapa UMNO akhirnya tunduk kepada desakan dan kehendak parti-parti komponen bukan Islam dalam BN?
Maka, siapa sebenar-benarnya mereka yang tidak sama akidah yang cuba mengajar macam mana untuk memperkasa undang-undang agama?
Mengapa mereka itu tidak dipujuk dan diberikan penerangan yang sebaik-baiknya tentang Islam dan hak sebagai bukan Islam sedangkan sudah sekian lama duduk semeja dalam BN dan kerajaan?
Hormati agama saya jika ingin saya hormati agama anda….wah sedapnya bunyi kata-kata dalam berbicara!!
Sebelum meminta orang lain memberi hormat, soalan mudah kepada Zahid ialah apakah UMNO itu sendiri sudah benar-benar menghormati dan meletakkan Islam sebagai agama yang seharusnya dihormati oleh pihak lain.
Jika UMNO sebagai tunjang kerajaan BN sungguh bagai dikata menghormati Islam  dan mahu undang-undang agama diperkasa, mengapa tidak kerajaan sendiri yang membawa usul pindaan itu sejak awal lagi?
Bukankah hal-hal berkaitan kerajaan adalah tugas dan tanggungjawab kerajaan yang sedang berkuasa melakukannya?
Mengapa perlu ia  “disub-kontrakkan” kepada pihak ketiga sedangkan pihak itulah dahulu pernah melontarkan tuduhan kafir, taghut, assabiyah, munafik, anti Islam dan sebagainya kepada UMNO?
Kemudian buat-buat sedih dan cuba menyalahkan pihak lain kerana kononnya menghalang usaha memperkasa undang-undang agama, sedangkan hakikat sebenarnya UMNO yang sedang menguasai kerajaan sendiri pun tidak meletakkan Islam itu sendiri di tempat yang sewajarnya.
Tidakkah Zahid sedar beberapa Ahli Parlimen blok pembangkang yang bangun meminta penjelasan sebelum Hadi Awang membawa usulnya hanya membangkitkan persoalan mengenai kekeliruan peraturan mesyuarat semata-mata.
Namun, setelah semua perkara diperjelaskan oleh Speaker, bukankah mereka akhirnya akur dan memberi laluan kepada Hadi melakukan pembentangan sehingga selesai serta Takiyuddin Hassan juga dapat bangun berucap memberikan sokongan kepada usul tersebut?
Tetapi, ketika Speaker menangguhkan perbahasan yang jelas bermakna usaha memartabat undang-undang Islam turut tertangguh, siapakah yang hanya berdiam diri dan siapa pula yang bangun membuat bantahan?
Mengapa pimpinan UMNO  dan Pas sendiri tidak kelihatan bangun melakukan bantahan?
Ehh…ehh…ehh….(ShahbudinHusin