ZAHID: RAMPAS KEMBALI 6 KERUSI FELDA DARI PEMBANGKANG

KUALA LUMPUR – Warga Felda diminta terus yakin dan menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi membolehkan usaha merampas semula enam kerusi Parlimen dimenangi pembangkang yang mempunyai penempatan Felda pada pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, selain sokongan itu BN juga perlu mengatur strategi yang lebih sistematik supaya dapat memenangi semula kerusi Parlimen berkenaan.

“Kita memerlukan sokongan semua. Kita rampas kembali enam kawasan yang terlepas ke tangan orang lain. Kita ada 54 (Parlimen mempunyai penempatan Felda), kita kecundang enam,” katanya ketika merasmikan mesyuarat agung tahunan kali ke-7 Majlis Belia Felda Malaysia di sini, hari ini.

Mengenai Felda sebagai sebuah agensi yang menjadi aset negara, beliau berkata Felda juga tidak terlepas daripada ditohmah pihak tertentu.

“Sebagai sebuah organisasi, tentu ada kekangan yang dihadapi kerana kita bukan maksum. Dalam keadaan itu, dengan adanya Tan Sri Shahrir Abdul Samad sebagai Pengerusi Felda, saya amat yakin beliau akan dapat melakukan transformasi terbaik untuk Felda,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, Felda telah melalui proses urbanisasi yang menjadi antara contoh terbaik kepada dunia.

“Kita mahu dasar urbanisasi bukan hanya kita melakukan mobiliti sosial secara horizontal di kawasan bandar untuk kita berhijrah, tetapi urbanisasi yang dilakukan untuk peneroka ialah membandarkan kawasan-kawasan Felda dan ini sedang berlaku dengan pesatnya,” katanya.

Beliau berkata, generasi kedua dan ketiga Felda perlu menjadi penyokong utama untuk menterjemahkan urbanisasi Felda.

– Bernama

.