Zahid: ‘Ramai doa saya cepat padam’

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mendakwa begitu ramai pihak yang mendoakan kematian beliau.

Ini kerana pemangku timbalan presiden Umno itu berkata begitu banyak berita palsu mengenai keadaan kesihatan beliau tersebar muktahir ini.

Menurut Zahid yang terbaru beliau didakwa mengalami serangan jantung.

“Saya minta maaflah terlambat datang sebab saya terpaksa berjumpa doktor tadi, bukan kerana saya diserang sakit jantung atau seperti viral (tersebar) kata saya kena strok, tak ada.

“Ramai betul orang doakan saya cepat padam,” kata Ahmad Zahid ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Subang, di Sungai Buloh hari ini.

Bagaimanapun, mengulas lanjut anggota Majlis Tertinggi Umno itu meminta semua pihak memaafkan individu yang menyebarkan berita palsu itu.

“Maafkanlah siapa-siapa yang mendoakan saya sakit mudah-mudahan sakit saya ini pergi ke dia. Tapi janganlah begitu,” ucap Zahid diiringi gelak tawanya.

Terdahulu Zahid hadir merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Subang di Sungai Buloh.

Zahid yang dijadualkan tiba di Sungai Buloh sekitar jam 9.15 pagi hanya tiba selepas dua jam dari dijadualkan.

Malah ketika berucap merasmikan mesyuarat tersebut juga suara Zahid kedengaran begitu serak dan beliau hanya mengambil masa kira-kira 15 minit sahaja tidak seperti biasa. – M’kini

.