ZAHID: POLIS TERUSKAN SIASATAN TERHADAP JAMAL

KUALA LUMPUR – Polis masih meneruskan siasatan terhadap Pengerusi Gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Yunos berhubung kenyataan yang dibuat oleh beliau.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, buat masa ini, pihaknya masih mengumpul keterangan yang boleh membantu siasatan tersebut.

“Kerajaan memandang serius terhadap perlakuan jenayah yang dilakukan oleh mana-mana individu atau pihak yang melanggar undang-undang sedia ada.

“Pihak polis akan menjalankan siasatan terhadap laporan yang diterima secara adil tanpa mengira fahaman politik atau latar belakang seseorang yang mengeluarkan kenyataan dan melakukan jenayah tersebut,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh (DAP – Batu Kawan), Kasthuriraani Patto dalam Dewan Rakyat, hari ini.

Khasturiraani dalam soalannya meminta kerajaan menjelaskan tindakan terhadap kenyataan ‘Hutang darah dibayar dengan darah’ yang dibuat Jamal baru-baru ini.

Selepas hidung Jamal berdarah dalam pergelutan di Ampang, pertengahan Oktober lalu, Jamal berikrar untuk membalas dendam dengan ‘hutang darah dibayar darah’ dan mahu ‘mencincang’ mereka yang melukakannya itu.

Pergelutan itu tercetus apabila kumpulan Baju Merah cuba keluar dari sebuah pusat membeli-belah tetapi dihalang oleh polis.

SINAR HARIAN

.