ZAHID: ‘PERTELINGKAHAN NAZRI-ABDUL KARIM SELESAI’

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Abang Openg telah mengadakan perbincangan yang akhirnya menjurus kepada penyelesaian pertembungan mengenai cukai pelancongan antara menteri persekutuan dan kerajaan negeri, baru-baru ini.

Pengerusi Pemuda BN Sarawak, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga menteri kerja raya berkata sedemikian semasa lawatan tapak di Petaling Jaya, hari ini.

“Ketua Menteri akan keluarkan kenyataan mengenainya,” kata beliau.

Fadillah menafikan wujudnya pertelingkahan antara Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dengan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Abdul Rahman Hamzah.

“Itu bukan bergaduh, cuma perbezaan pendapat,” jelasnya.

Sementara itu, Bernama melaporkan, pergeseran antara Mohamed Nazri dengan kerajaan negeri Sarawak dan Sabah berhubung pelaksanaan cukai pelancongan telah selesai, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, perkara itu telah dibincang dan dipersetujui secara bersama oleh pihak yang berkenaan semasa mesyuarat jemaah menteri, semalam.

Katanya dalam mesyuarat itu, Najib telah memutuskan perkara itu diselesaikan dan semua pihak tidak lagi mengeluarkan kenyataan berkenaan isu tersebut.

“Isu ini telah selesai, semua pihak sama ada kerajaan atau pemimpin kerajaan negeri tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan bengkel pembaharuan pendidikan Islam Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (Lepai), semalam.

Ahmad Zahid berkata beliau secara peribadi telah bertemu dengan Abang Johari dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berhubung isu tersebut.

Timbalan Perdana Menteri berkata mereka bersetuju bahawa masalah promosi pelancongan memerlukan dana kerana terdapat negeri kutipan cukainya adalah sedikit manakala ada negeri memungut hasil cukai yang banyak.

Beliau berkata hasil cukai akan diguna pakai untuk promosi pelancongan bukan hanya mengikut negeri tetapi mengikut bidang atau kepentingan sesuatu produk pelancongan.

“Kita juga memutuskan menutup buku isu ini (pergeseran) dan membuka buku baharu,” katanya.

Kerajaan sebelum ini memutuskan pelaksanaan cukai pelancongan yang akan menyaksikan kadar antara RM2.50 dan RM20 untuk penginapan semalam akan dikuatkuasakan bermula 1 Julai depan.

– M’kini

.