ZAHID: KERAJAAN BERI JAMINAN AKAN BENTANG RUU355 KALI INI

KUALA TERENGGANU – Kerajaan memberi jaminan bahawa usul Rang Undang-Undang Persendirian Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah ) (Pindaan) 2016 akan dibentangkan bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada sidang kali ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembentangan itu akan dibuat pihak kerajaan, namun enggan mendedahkan perkara itu lebih lanjut.

Keadaan itu menjelaskan bahawa pembentangan RUU355 itu tidak akan dibaca oleh Ahli Parlimen Pas sebagaimana bacaan kali pertama yang dibuat Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada sidang Dewan Rakyat, Mei tahun lepas.

“Insya-ALLAH, RUU 355 akan dibentangkan di dalam sidang Parlimen pada kali ini yang dibawa sendiri oleh kerajaan. Saya tidak mahu menyebutkan secara ‘detail’,” katanya dalam Majlis Perasmian Kelompok Persidangan Umno Cawangan Peringkat Terengganu di Stadium Negeri, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut meminta untuk sama-sama menterjemahkan hasrat tersebut tanpa mengganggu-gugat agama lain serta rakan-rakan komponen lain dalam BN.

Beliau juga turut memberitahu bahawa kerjasama dengan ‘rakan baharu’ dalam isu itu boleh membuka satu kekuatan baharu kepada BN dan tiada sebab untuk BN kecundang pada PRU14.

“Kita bukan berhasrat untuk mengadakan tahalluf siyasi secara semberono, ‘political collaboration’ secara mendadak tetapi Insya-ALLAH pendekatan ‘bilhikmah wabil hasanah’ dengan ‘full of wisdom and full of understanding’ di kalangan kita.

“Saya akan perincikan dengan rakan-rakan saya di atas pentas nanti. Kalau tidak hari ini, mungkin hari lain mereka akan turun bertemu dengan tuan-tuan dan puan-puan untuk melakukan penjelasan,” katanya.

Jelasnya, isu itu juga turut membuktikan segala kemungkinan boleh berlaku dengan menegaskan tiada rakan dan musuh yang kekal dalam politik.

“Kalau kita dapat memantapkan hubungan di kalangan kita, kita ketepikan permasalahan dalaman yang ada, kita gamit keberadaan ‘rakan-rakan kita yang baharu’, tidak ada sebab untuk kita kecundang dan kita berdoa mudah-mudahan dengan faktor-faktor itu, kekuatan akan terbina semula di Terengganu, di seluruh negeri-negeri semenanjung, seluruh negeri Sabah dan Sarawak untuk menentukan.

“Insya-ALLAH dalam PRU14, kita akan dapat lebih dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat,” katanya.

– SH

.