ZAHID JAMIN RAWATAN TERBAIK UNTUK ANWAR

Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Deputy Prime Minister of Malaysia, arrives for a working dinner on the South Lawn of the White House on March 31, 2016 in Washington, DC. World leaders are gathering for a two-day conference that will address a range of issues including ongoing efforts to prevent terrorist groups from accessing nuclear material. / AFP PHOTO / Olivier Douliery####################OLIVIER DOULIERY

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberi jaminan bahawa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadapi masalah kesihatan di Penjara Sungai Buloh, Selangor, diberikan rawatan yang terbaik.

Katanya, pihak Kementerian Kesihatan telah mengambil langkah-langkah yang memenuhi permintaan Anwar dan keluarganya berhubung perkara itu.

 “Saya ingin menyatakan bahawa rawatan yang terbaik daripada doktor pakar yang sesuai dan ‘post operation’ atau rawatan pasca pembedahan akan diberikan kepada beliau dan kita tentunya mendoakan agar selepas rawatan ini beliau akan segera sembuh.

“Kita berharap pegawai-pegawai perubatan Kementerian Kesihatan dapat memberikan rawatan yang terbaik dan pasca rawatan yang terbaik juga,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 peringkat dasar bagi Kementerian Dalam Negeri, di Dewan Rakyat hari ini.

Jawapan Ahmad Zahid itu disambut baik oleh Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai), yang juga anak kepada Anwar, yang mencelah penggulungan itu dengan mengucapkan terima kasih dan turut memohon jaminan keselamatan terhadap banduan di penjara susulan kemalangan jalan raya yang menimpa Anwar baru-baru ini.

Pada 22 September lalu, Anwar yang mendapat rawatan untuk masalah kesihatanya di Hospital Kuala Lumpur (HKL), terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan dari hospital berkenaan ke Penjara Sungai Buloh.

Mengenai kemalangan itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata siasatan sedang dilakukan dan tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang berkenaan sekiranya kejadian itu didapati disengajakan.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) yang menimbulkan persoalan mengenai peralihan jawatan Ketua Polis Negara yang menurutnya seperti ada yang ‘tidak kena’, Ahmad Zahid berkata pelantikan Tan Sri Mohamad Fuzi Harun sebagai Ketua Polis Negara yang baharu telah mengikuti prosedur biasa dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Saya bertindak secara profesional untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong, bagi memperkenankan pelantikan Mohamad Fuzi sebagai Ketua Polis Negara,” katanya.

– Bernama

.