ZAHID HAMIDI PERTAHAN ZAMIHAN

ZAMIHAN Mat Zin adalah aset penting kerajaan dalam program pemulihan tahanan suspek militan dan beliau seorang pakar, kata Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid mempertahankan Zamihan ketika ramai mendesak supaya peranan pegawai agama itu dalam program pemulihan akidah ditamatkan susulan beberapa kontroversi melibatkannya.

“Ustaz Zamihan merupakan salah seorang pakar pemulihan ini. Mengikut rekod yang saya perolehi, kejayaan beliau untuk melakukan pemulihan akidah terhadap orang Islam yang lakukan keganasan atau melakukan keganasan berat ini cukup berjaya.

“Ertinya beliau adalah aset untuk memulihkan akidah, apatah lagi kembalikan kumpulan itu untuk ikut jalan yang benar dari segi agama,” katanya, seperti dipetik oleh Free Malaysia Today.

Dua hari lalu, melalui Facebook rasminya, Zamihan menceritakan pengalamannya selepas mengendalikan program bersama tahanan militan IS di Tapah, Perak.

“Baru selesai sesi Deradikalisasi bersama mereka yang terlibat dengan kumpulan militan Daesh di Tapah.

“Sesi berjalan dengan ceria dan rancak tanpa henti selama empat jam lebih sambil melayan semua soalan yang dibangkitkan.

“Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya kepada kita semua atas perkara yang disukai lagi diredainya. Saksikanlah Ya Allah, aku telah membimbing mereka,” tulis Zamihan.

Bagaimanapun, Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin mendesak pihak berkuasa menilai semula hal ini dengan serius.

“Persoalan kita, bolehkah ‘pelampau’ memulihkan pemikiran pelampau? Ini bukan kali pertama beliau menzahirkan pemikiran pelampaunya,” katanya melalui Facebook beliau.

Susulan itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR Latheefa Koya menyoal Putrajaya kenapa masih membiarkan penceramah kontroversi itu mengendalikan program pemulihan tahanan militan IS.

Latheefa berkata pandangan ekstremis Zamihan sudah diketahui umum, daripada isu dobi untuk Muslim saja sehingga mengkritik surau di Pulau Pinang kerana membenarkan mangsa banjir bukan Islam berlindung.

“Bagaimana seorang pendakwah yang diharamkan bercakap di Selangor dan Johor dan menimbulkan begitu banyak kontroversi dengan melaga-lagakan orang Islam dan bukan Islam masih diberikan akses kepada tahanan IS?

“Saya menggesa Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi untuk menilai semula peranan Zamihan di penjara serta merta, terutamanya dengan tahanan berkaitan IS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Maszlee Malik berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) wajar membentangkan laporan yang telus mengenai program pemulihan itu kerana pemikiran Zamihan dilihat berisiko menjejaskan keharmonian dan perpaduan kaum di Malaysia.

Katanya, masyarakat wajar berasa bimbang dan mendesak laporan itu kerana Zamihan menunjukkan aliran pemikiran yang menyebar rasa kebencian dalam kalangan orang Islam terhadap orang bukan Melayu dan Islam.

Beliau berkata program pemulihan yang baik yang dibuat oleh kerajaan itu jangan nanti jadi seperti “terlepas dari mulut buaya, masuk pula ke mulut harimau”.

Zamihan sebelum ini ditahan reman dua hari bagi membantu siasatan mengikut Akta Hasutan 1948 kerana kenyataannya yang didakwa mengkritik Sultan Johor berhubung titah mengenai kedai dobi layan diri untuk Muslim saja.

Dalam kuliahnya di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Shah Alam bulan lalu, Zamihan turut membuat kenyataan yang dianggap menghina kaum Cina.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed pada 13 Oktober lalu memberitahu The Malaysian Insight, KDN akan mengkaji kedudukan Zamihan dalam program pemulihan itu.

– https://www.themalaysianinsight.com

.