ZAHID HAMIDI IKRAR WALA’ HINGGA KE HUJUNG NYAWA, APAKAH HUBUNGANNYA DENGAN NAJIB JUGA SUDAH DI HUJUNG NYAWA?

Di antara semua pemimpin yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri, tidak kira sama ada mereka itu akhirnya berjaya menjadi Perdana Menteri atau kecundang di tengah jalan, Ahmad Zahid Hamidi rasanya sudah boleh diberikan anugerah trofi paling kerap mengucapkan ikrar taat setia kepada Najib Razak.
Meskipun bukanlah perkara asing atau luar biasa bagi seorang Timbalan Perdana Menteri mengucapkan ikrar setia kepada Perdana Menteri, lebih-lebih lagi apabila timbul kecurigaan tentang hubungan kedua-dua mereka, tetapi kekerapan Zahid Hamidi melafazkannya ternampak sedikit luar biasa.
Ia menjadi luar biasa kerana hubungan Zahid Hamidi dengan Najib bukanlah baru, malah bermula dengan menjadi Setiausaha Politiknya pada tahun 1987 lagi.
Lalu, apa perlunya Zahid Hamidi terlalu kerap mengucapkan ikrar setianya itu?
Hanya dalam tempoh dua tahun menduduki kerusi nombor dua dalam kerajaan, beliau sekurang-kurangnya sudah mengucapkan lima atau enam kali ikrar taat setia kepada Najib.
Daripada pernah mengucapkannya di Perhimpunan Agung UMNO, di depan ulama dan tokoh agama, kepada media dan rakyat biasa, kali ini ikrar taat setianya naik setakuk lagi tarafnya dengan berjanji untuk wala’ kepada Najib hingga ke hujung nyawa pula.
Alamakkk….selain Rosmah Mansor yang barangkali tidak asing jika mahu setia hingga mati dengan Najib, rupa-rupanya Zahid Hamidi pun mahu berbuat perkara yang sama.
Tidak pernah mana-mana Timbalan Perdana Menteri sebelum ini berbuat sekerap yang Zahid Hamidi lakukan, malah tiada juga yang pernah berwala’ hingga ke hujung nyawa dengan mana-mana Perdana Menteri.
Kenapa sampai begitu sekali Zahid Hamidi ingin menunjukkan taat setianya kepada Najib?
Apakah beliau benar-benar ingin setia sehingga mati kepada Najib atau ia lebih didorong kebimbangan terhadap masa depan politik yang mungkin turut kecundang di tengah jalan?
Dari sudut lain, perbuatan Zahid Hamidi itu juga jelas pelik dan ganjil di mata semua orang di mana ia ibarat seorang suami yang dilihat setiap hari memberitahu orang lain tentang sayang dan kesetiaan kepada isterinya
Suami yang normal dan baik hati tidak perlu mengucapkan kata-kata tersebut setiap hari, apatah lagi memberitahu kepada orang lain, tetapi apa yang perlu dilakukannya memadai dengan menunaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan sebaik mungkin.
Apabila seseorang suami terlalu kerap mengucapkan kata-kata sayang dan setia, tambahan pula jika isterinya itu adalah cinta lama sejak zaman sekolah rendah lagi, kebiasaannya tentu ada perkara luar biasa bakal terjadi.
Lumrahnya sama ada rumahtangga mereka sedang bermasalah atau suaminya mula tidak setia dengan kemungkinan ada kekasih baru atau ingin kahwin lagi satu.
Di perjalanan masa sehingga pilihanraya atau pemilihan UMNO akan datang, berapa kali lagikah agaknya Zahid Hamidi akan mengulang-ulang ikrar taat setia dan wala’nya kepada Najib itu?
Jika tidak bermasalah atau hubungan bukan sedang berada di hujung nyawa, untuk apa Zahid Hamidi terlalu kerap melafazkan ikrar taat setia dan terbaru mahu wala’ kepada Najib hingga ke hujung nyawa?
 Cuma, apakah Najib juga mahu sama wala’ dengan Zahid Hamidi hingga ke hujung nyawanya?

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.