ZAHID HAMIDI AKHIRNYA SAHKAN ANWAR YANG BERJIWA BESAR, BUKANNYA NAJIB

Pujian beberapa pemimpin UMNO dan laskar maya pro kerajaan yang mendakwa Najib Razak sebagai pemimpin berjiwa besar kerana sanggup melawat Anwar Ibrahim yang sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur dengan sendirinya terbatal apabila ia disanggah oleh Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam ulasannya selepas beliau dan Najib serta isteri masing-masing melawat Anwar, Zahid Hamidi berkata, Ketua Umum Pakatan Harapan dan PKR itu adalah seorang yang berjiwa besar.

“Beliau (Anwar) berjiwa besar menerima kunjungan PM dan Rosmah dan hari ini (lawatan) saya dan isteri saya dengan hati yang besar.

“Saya tahu dari bahasa badannya, Anwar menerima kami dengan baik,” kata beliau.

Memang tidak dapat dinafikan, Anwarlah yang benar-benar berjiwa besar dalam hal ini, bukannya Najib.

Dia yang dipenjara, dicemuh dengan segala kata nista serta disakiti, tetapi dengan lapang dada dapat menerima kunjungan orang yang pernah menyakitinya, minta bergambar seolah-olah  tak bersalah dan kemudian memasukkan dalam media sosial untuk menunjuk-nunjuk kesucian hati dan menziarah kononnya kerana simpati.

Jika Anwar berjiwa kecil, beliau boleh saja tidak menerima kunjungan sesiapa untuk melawatnya, terutama mereka yang pernah mencemuh, menyakiti dan menghambur keaiban kepadanya, kecuali ahli-ahli keluarganya saja.

Atau beliau boleh juga meletakkan syarat agar mereka yang melawatnya tidak dibenarkan mengambil gambar, apalagi berkongsi gambar tersenyum itu di mana-mana medium media sosial.

Agak-agaknya jika itu syarat yang diletakkan oleh Anwar atau ahli keluarganya kepada Najib dan Zahid Hamidi, adakah kedua-dua pemimpin itu masih sudi pergi ke HKL?

Kenapa Najib dan Zahid Hamidi sendiri yang dengan pantas berkongsi gambar lawatan mereka di media sosial, tetapi tidak oleh Dr. Wan Azizah Wan Ismail atau anak-anak Anwar yang turut berada di HKL ketika itu?

Jadi, apa sebenarnya tujuan mereka melawat Anwar itu?

Dengan terbukti Anwar yang berjiwa besar menerima kunjungan musuh politiknya,  apakah isi yang ada dalam jiwa Najib dan Zahid Hamidi ketika pergi ke HKL dan kemudian cepat-cepat menyebarkan gambar lawatan masing-masing supaya diketahui oleh seluruh rakyat negara ini?

Benarkah ia disebabkan simpati dan rasa kemanusiaan?

Jika begitu, bolehkah pada minggu depan Anwar segera dibebaskan?

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.