Zahid Hadiri Perhimpunan Agung PBB Di New York

NEW YORK: Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bakal menyertai Raja-raja, presiden dan perdana menteri di pentas diplomatik terbesar di dunia – Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA).

Beliau akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi ke-71 Perhimpunan Agung Pertubuhan bangsa Bersatu dalam lawatan kerja ke bandaraya kosmopolitan ini yang mempunyai penduduk lebih 8.5 juta orang ke perhimpunan tahunan itu dari 17 hingga 25 September.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar berkata Timbalan Perdana Menteri dijadualkan menyampaikan Kenyataan Negara pada semasa sesi Debat Umum pada 24 September.

Beliau juga dijadual menyertai Mesyuarat peringkat Tinggi Menangani Penghijrahan Pelarian dan Migran Berskala Besar pada 19 Sept di Perhimpunan Agung, dan Mesyuarat peringkat Tinggi mengenai Situasi di Syria di Majlis Keselamatan pada 21 September.

Satu kenyataan PBB berkata ini kali pertama Perhimpunan Agung mengadakan sidang kemuncak di peringkat ketua negara dan kerajaan mengenai pergerakan berskala besar pelarian dan migran, menyediakan peluang bersejarah untuk mengemukakan rangka tindakan bagi tindak balas antarabangsa yang lebih baik.

PBB berkata para pemimpin dunia dijangka menerima pakai deklarasi politik sebagai dokumen hasil perhimpunan itu yang akan menyaksikan PBB mempunyai  tambahan agensi baharu di bawahnya iaitu agensi migrasi.Para pemimpin PBB dan Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) dijangka memeterai perjanjian untuk secara rasmi menjadikan IOM sebagai sebuah agensi berkaitan di bawah sistem PBB.

– Mstar

.