ZAHID: GUNA SOSMA KE ATAS MARIA? TANYALAH IGP & AG

Ditanya mengenai penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) terhadap Ketua BERSIH Maria Chin Abdullah, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ‘menghalakan’ soalan tersebut kepada Peguam Negara dan Ketua Polis Negara.

“Untuk itu, kami meminta Peguam Negara dan Ketua Polis Negara untuk jawab. Saya tidak mahu sentuh hal ehwal operasi mereka,” ujar beliau kepada pemberita semasa sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Maria ditahan pada Jumaat yang lalu ketika serbuan di pejabat BERSIH. Kumpulan pro-reformasi pilihan raya itu telah disiasat di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan atas dakwaan menerima pembiayaan daripada Open Society Foundations, yang dikaitkan dengan jutawan Amerika Syarikat, George Soros.

Peruntukan itu menyalahkan percubaan untuk ‘melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen’ dan membawa kepada hukuman penjara sehingga 15 tahun.

Maria ditahan di bawah Sosma yang antara lainnya membolehkan tempoh penahanan yang panjang sehingga 28 hari selepas mendapat kelulusan dari mahkamah bagi kesalahan keselamatan, termasuk Seksyen 124C.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini berkata, penahanan Maria Chin di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) adalah tidak betul dan keterlaluan.

“Kerajaan pernah memberi jaminan bahawa tidak seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Sosma dan undang-undang lain tidak akan disalah gunakan oleh kerajaan bagi tujuan politik dan yang tidak ada kena-mengena dengan keselamatan dalam negeri.

“PAS konsisten menentang sebarang bentuk kezaliman dan salah guna kuasa terhadap sesiapa pun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

MKINI

.