ZAHID: BN RANGKA STRATEGI HADAPI SITUASI POLITIK BAHARU

PUTRAJAYA – BN akan merangka strategi baharu dan menstruktur semula organisasi jentera bagi menghadapi situasi baharu berikutan pembatalan kerjasama politik atau tahaluf siyasi Pas dan PKR, kata Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid selaku naib presiden Umno yang menjalankan tugas sebagai timbalan presiden parti itu mengakui bahawa senario politik baharu itu akan memberi cabaran baharu kepada BN dan Umno khususnya menjelang PRU14.

“Realiti politik harus diserapkan oleh Umno dan BN untuk melihat kaedah-kaedah terbaik dalam menangani isu ini. Tentunya kita harus menstruktur semula organisasi jentera Umno dan BN dalam menghadapi situasi baharu ini.

“Dulu, di kebanyakan kerusi Dun dan Parlimen atas kesepakatan mereka (Pas dan PKR), mungkin kita menghadapi pertandingan dua penjuru. Dengan situasi baharu ini, kita berkemungkinan menghadapi pertandingan tiga penjuru.
“Cabaran tiga penjuru adalah berbeza. Kita harus memikirkan dalam jangka sederhana dan panjang bahawa ia adalah satu cabaran yang harus kita hadapi. Biarpun “the more the merrier’ (lagi ramai lebih meriah), kita harus merangka strategi untuk menghadapi strategi yang disusun mereka,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sebelum itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri menerima kunjungan hormat Ketua Pengarah Pertubuhan Antarabangsa mengenai Migrasi (IOM) William Lacy Swing di Bangunan Perdana Putra.

Semalam, Majlis Syura Ulama Pas sebulat suara mengambil keputusan untuk menamatkan hubungan kerjasama politik dengan PKR secara serta-merta.

Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata keputusan itu dibuat merujuk kepada tindakan PKR melanggar beberapa syarat kerjasama politik antara Pas dan PKR yang terjalin sejak pilihan raya umum ke-11.

Antara pelanggaran terhadap syarat-syarat tahaluf siyasi itu adalah tidak menyokong malah menentang sebahagian agenda Islam yang dibawa Pas seperti usul rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355).

Selain itu, PKR juga mengkhianati hubungan politik dengan Pas antaranya mengadakan kerjasama dengan pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan Kelantan dan menentang Pas pada pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Parlimen Kuala Kangsar, Perak, tahun lepas.

Ahmad Zahid berkata kerjasama politik yang terbatal itu jelas menunjukkan Pas mahu menjadi sebuah parti politik yang mempunyai identiti tersendiri dan yakin ia boleh bersendirian menghadapi PRU14 akan datang.

Mengenai amanat Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak pada perhimpunan Ulang Tahun Ke-71 Umno malam tadi, beliau berkata amanat oleh perdana menteri itu menunjukkan keikhlasan parti tunjang BN itu untuk menterjemahkan keperluan dan citarasa rakyat keseluruhannya.

– Bernama

.