ZAHID, BELAJARLAH HORMATI ORANG LEBIH BERJASA…

Tutur kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan Perhimpunan 1Pesara Malaysia 2017 kelmarin sudah cukup menggambarkan betapa songsangnya cara berfikir orang nombor dua negara.

Ungkapan seperti “gigit tangan (orang) yang pernah memberi makan pada kita”, “sila bagi standing ovation kepada kerajaan” – semuanya adalah bahasa angkuh di depan pesara yang telah menyumbangkan sebahagian besar umur mereka untuk berbakti kepada negara.

Dengan tempoh perkhidmatan warga pesara itu yang mencecah 30 tahun atau lebih, Zahidlah yang sepatutnya memberikan standing ovation kepada seluruh pesara ini.

Tidak malukah Zahid – sebagai orang politik yang tempoh perkhidmatan sepenggal sahaja sudah beroleh pencen (mengikut Akta 237, pindaan 2015) – untuk meminta standing ovation kepada mereka yang telah berkhidmat jauh lebih lama daripada beliau?

Golongan pesara ini tidaklah naif. Malah jika ditelusur dengan lebih adil, apa masalahnya jika pesara-pesara itu memang mahu “menggigit tangan” kerajaan yang korup dan rosak?

Dengan pengalaman luas sepanjang tempoh perkhidmatan bersama kerajaan, teramat jelas di mata mereka betapa teruknya kepimpinan negara ketika ini berbanding zaman mereka masih berkhidmat dulu.

Tidak keterlaluan untuk kita sebut, warga pesara ini jauh lebih berhak untuk “menggigit” – kalau mereka mahu – demi kepentingan negara yang mereka cintai.

Maka selepas ini, eloklah Naib Presiden Umno itu berbahasa lebih cermat dan sedar diri. Ungkit-mengungkit dan ugut-mengugut sebagai modal politik ini sudah tidak laku dalam dunia sekarang.

Atuk, nenek, ayah dan ibu kami yang telah menyerahkan sepenuh jiwa raga dalam perkhidmatan awam bukan budak-budak suruhan Umno yang boleh diarah-arah Ahmad Zahid.

Beliau perlu segera belajar untuk menghormati orang lebih berjasa kalau tidak mahu namanya diludah generasi terkemudian.

–¬†https://www.malaysiakini.com

.