ZAHID: AWAS TAUKE JUDI TAJA PARTI POLITIK

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi khuatir ada sindiket yang akan menggunakan hasil kegiatan mereka untuk membiayai parti-parti politik, terutama semasa pilihan raya umum.

Beliau yang juga timbalan perdana menteri berkata, perkara itu boleh berlaku jika kegiatan judi tidak dihapuskan sepenuhnya.

“Ini bukan tuduhan, cuma dikhuatiri (berlaku pembiayaan parti politik),” beliau dipetik sebagai berkata pada program Penerapan Nilai-nilai Murni Ramadan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sebuah masjid di Balik Pulau, hari ini.

Timbalannya di KDN Datuk Nur Jazlan Mohamed, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Chuah Ghee Lye, pegawai-pegawai kanan Bukit Aman dan kontinjen negeri turut hadir dalam acara itu.

Zahid juga mengarahkan polis negeri memerangi habis-habisan kegiatan perjudian yang menurutnya semakin serius di negeri itu.

Beliau mengarahkan pihak yang terlibat, termasuk ketuanya ditangkap dan diheret ke mahkamah.

“Mulai hari ini, saya arahkan ketua polis negeri (banteras judi). Saya tidak mahu lagi ada laporan ‘kingpin’ (ketua) terdiri daripada tauke besar (ada) di Pulau Pinang.

“Jangan khuatir, jangan takut. Kami di Bukit Aman, KDN akan berada di belakang polis (Pulau Pinang) untuk beri sokongan kuat (hapuskan judi),” katanya.
Selain itu katanya beliau juga tidak mahu masyarakat Pulau Pinang menjadi mangsa.

Ini berikutan perjudian merupakan masalah paling tinggi di negeri tersebut.

“Saya bersimpati dengan mereka yang menjadi mangsa judi,” katanya lagi.

– M’kini

.