YOUNG SYEFURA : PASTIKAN ANAK MUDA KELUAR MENGUNDI PRU14

IDENTITI politik kini sudah pun cair daripada imej politik parti, kaum, agama, tokoh. Sekarang ini anak muda melihat persoalan politik lebih tertumpu kepada perbincangan dasar serta kebajikan rakyat.

Penolong Setiausaha Wanita DAP Kebangsaan, Young Syefura Othman berkata, generasi muda lebih berminat untuk ambil tahu polisi yang melibatkan mereka seperti isu pendidikan, pekerjaan dan ekonomi.

Katanya, elemen seperti ini perlu jadi asas kepada politik negara.

Young Syefura yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) DAP Selangor menegaskan, sekiranya anak muda meletakkan inflasi, rasuah dan peluang pekerjaan sebagai perhatian, maknanya mereka sebenarnya peduli tentang politik negara dan isu semasa.

“Dapatan yang dijalankan Merdeka Center beri satu perspektif baru terhadap kerangka politik negara,” katanya.

Menurut beliau, parti politik tidak perlu 100 peratus anak muda untuk bergiat aktif dalam politik ataupun politik partisan.

“Partisipasi mereka paling penting untuk mengundi semasa pilihan raya dan saya yakin dan positif peratusan keluar mengundi anak muda akan kekal tinggi pada PRU14 kelak.

“Mungkin ada yang mengatakan partisipasi anak muda dalam politik membimbangkan, tapi bagi saya selepas 2008, partisipasi politik anak muda sebenarnya makin meningkat.

Tapi mungkin ramai yang tidak memilih politik partisan tapi bergerak dalam badan bukan kerajaan (NGO) namun masih memperjuangkan isu-isu politik.

“Cara untuk tingkatkan penyertaan dan menarik minat ialah dengan memperlihatkan hal-hal berkaitan politik terutamanya memilih kerajaan itu penting kerana memberi impak kepada kehidupan mereka kelak,” katanya.

– Sinar Harian

.