YAKIN UMNO MAMPU TAWAN SELANGOR

SUNGAI BESAR – Wanita Umno menaruh keyakinan BN mempunyai peluang besar merampas kembali Selangor pada PRU-14.

Ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, prestasi perkhidmatan yang ditunjukkan pemimpin BN jauh lebih baik berbanding apa yang ditunjukkan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (Harapan) di negeri ini.

Malah, katanya, bancian sikap yang dilaksanakan wanita Umno Selangor sejak lebih empat tahun lalu menunjukkan bahawa wakil rakyat dari parti pembangkang tidak menjaga keperluan rakyat sepertimana yang mereka laung-laungkan.

 “Mereka hanya hebat dalam media sosial dan hanya pandai bercakap sahaja, tetapi perkhidmatan mereka untuk rakyat di kawasan Parlimen dan Dun tidak seperti yang sepatutnya.
 “Kalau tak ada pemimpin Barisan Nasional, ramai daripada rakyat tidak dibela terutama mereka yang miskin dan memerlukan bantuan,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas Program Kembara Ibu Terbaik Bangsa PRU14, di Sekin Resort, di sini.

Shahrizat berkata, daripada rumusan bancian itu juga menunjukkan kepimpinan kerajaan negeri tidak mengotakan janji mereka kepada rakyat.

“Rungutan daripada rakyat bahawa kerajaan negeri Selangor tidak mengambil berat dan mereka berjanji begitu dan begini tetapi implementasi mereka memang sangat lemah,” katanya.

Beliau berkata, antara rungutan rakyat di negeri ini ialah berhubung isu perniagaan, pembangunan, kebesihan dan peluang pekerjaan.

“Misal kata di bandar, rungutan mereka tertumpu dalam soal perniagaan seperti isu lesen, cukai premis perniagaan, isu penguatkuasaan dan lain-lain lagi.

“Manakala rungutan luar bandar pula tertumpu dalam soal pembangunan dan perumahan,” katanya.

Mengulas mengenai program turun padang itu,  Shahrizat memberitahu, tujuan program itu dilaksanakan adalah bagi mendapat maklum balas tentang keperluan dan keluhan rakyat di tiga Parlimen.

“Jentera wanita jadi perantara antara rakyat dengan pihak berkuasa. Hari ini kita turun ke tiga kawasan Parlimen iaitu di Sungai Besar, Sabak Bernam dan Tanjong Karang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, Umno Selangor sudah mengenal pasti 30 Dun di negeri ini termasuk di Dun Sekinchan untuk ditawan pada PRU-14.

“Gerak kerja telah pun dibuat untuk menghadapi PRU-14 dan saya yakin BN mampu merampas semula negeri ini,” katanya.

– Sinar harian

.