Yakin rampas Parlimen Temerloh dan dua DUN

TEMERLOH  – UMNO Bahagian Temerloh berikrar merampas semula kerusi Parlimen Temerloh dan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kuala Semantan dan Mentakab yang kini milik pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.
Ketuanya, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, pada masa sama usaha strategik telah dilaksanakan untuk mempertahankan DUN Lanchang dengan undi majoriti yang meningkat.

Katanya, kekalahan Parlimen Temerloh dan dua DUN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) merupakan satu kejutan besar kepada orang Melayu khususnya pengundi di kawasan itu apabila parti lawan Pas yang menawan Kuala Semantan serta Parlimen Temerloh manakala DUN Mentakab dimenangi DAP.

“Oleh itu, UMNO Temerloh optimis Parlimen Temerloh, DUN Lanchang, DUN Kuala Semantan dan DUN Mentakab menjadi milik UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang disokong 75 peratus pengundi Melayu.

“Kecenderungan dan ‘mood’ pilihan raya sekarang telah mendorong UMNO Temerloh mengatur strategi dalaman dengan teras mengukuhkan perpaduan dan ukhwah,” katanya ketika berucap pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Temerloh di sini semalam.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa hadir merasmikan persidangan tersebut.

Menurut Mohd. Sharkar, pihaknya telah mengatur gerak kerja terutama mendekati pengundi seramai 66,000 orang dan berusaha mendaftar 8,000 pengundi baharu yang dikesan masih belum berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Usaha dilaksanakan oleh semua sayap UMNO mengesan dengan apa cara sekalipun bagi mendaftar 8,000 pengundi baharu untuk menjadikan 75,000 pengundi dalam PRU-14 ini.

“Adalah menjadi tanggungjawab orang UMNO untuk memastikan Parlimen Temerloh dan tiga Dewan Undangan Negeri menjadi milik UMNO dan Barisan Nasional (BN),” jelasnya.

Katanya, UMNO perlu menguasai Parlimen Temerloh dan tiga DUN kerana daerah ini penting dari segi logistik dan pembangunan kerana lokasi ini merupakan titik tengah Semenanjung.

“Kemenangan UMNO dan BN bakal memberi impak positif terhadap pelaksanaan projek pembangunan yang dirancang untuk faedah rakyat Temerloh,” jelasnya.
– UTUSAN

.