YAKIN KEDAH, JOHOR PILIH PEMBANGKANG

ALOR SETAR – Calon menteri besar bagi negeri dimenangi Pakatan Harapan bukan ditentukan oleh parti yang mengetuai negeri terbabit.

Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Mohamad Sabu berkata, pemilihan calon menteri besar bergantung kepada keputusan PRU14 kelak.

Menurutnya, lantikan pengerusi bagi mengetuai Pakatan Harapan negeri adalah untuk menstrukturkan organisasi supaya gerak kerja lebih tersusun

“Kita sudah umumkan pengerusi yang ketuai Pakatan Harapan di Pulau Pinang, Selangor dan Johor. Isnin depan, kita akan putuskan lagi beberapa negeri termasuk Kedah. Jawatankuasa itu sudah dicadangkan di peringkat negeri dan Pusat akan beri persetujuan,” katanya.
Pada ucapannya, Mohamad yakin Kedah dan Johor akan beralih kuasa kepada pembangkang pada PRU14.

“Jika kita berjaya tawan Johor, bermakna pengaruh Umno akan mula hilang. Pembahagian kerusi kini sedang rancak dilakukan, sudah nampak cahaya penyelesaian di beberapa negeri,” katanya.

Menurutnya, penerimaan Mahathir dalam gabungan pembangkang sudah dapat diterima baik berbanding pada awal penglibatannya.

“Rakan-rakan dalam Bersatu perlu bersabar sedikit, sebab ramai pimpinan pembangkang seperti saya, Lim Kit Siang, Khalid Samad, Lim Guan Eng; dulu kami semua ‘kena’ dengan Mahathir, bukan senang nak terima, seolah pertemuan mangsa-mangsa dengan pemangsa. Sebab itu, perbincangan awal gagal rumuskan struktur sehingga 13 Julai lalu persetujuan dicapai,” katanya.

Mohamad berkata, manifesto bersama juga hampir selesai setelah empat jawatankuasa parti membentangkan manifesto masing-masing.

“Kebanyakan cadangan tak jauh beza dengan manifesto negeri-negeri. Cuma janganlah janji macam-macam ketika berceramah contohnya nak hapus pelbagai cukai sebab saya kurang setuju kecuali cukai GST, sebab cukai diperlukan dari kalangan kaya untuk urus negara,” katanya.

Menurutnya, kutipan cukai bukan kesalahan namun rakyat tidak akan protes sekiranya tahu ke mana cukai itu disalurkan.

“Kalau saya jadi orang besar nanti, saya nak naikkan cukai, yang penting pembayar cukai tahu ke mana wang itu dilaburkan. Bukan untuk seleweng tetapi untuk kebajikan rakyat dan bina infrastruktur asas, barulah pembayar cukai tak marah walaupun cukai tinggi,” katanya, mengundang ketawa hadirin.

– http://www.sinarharian.com.my

.